KUALA LUMPUR 11 April – Operator Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Ganda di Gerik, Perak tidak bertanggungjawab kerana meneruskan operasi walaupun menyedari sumber air di situ terjejas dengan arsenik.
Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Santiago berkata, keracunan arsenik ini sangat serius kerana kesannya boleh menyebabkan kanser dan hanya boleh dikesan pada dua, tiga atau lima tahun akan datang.
“SPAN terpaksa mengarahkan LAP menutup LRA Sungai Ganda serta-merta Selasa lalu sebab penduduk sudah terdedah dengan keracunan arsenik akibat minum daripada air paip sama ada secara langsung atau tidak. “Pasukan penyiasat SPAN juga telah berada di sana dan kita akan membuat laporan terhadap LAP jika mereka didapati melakukan kesalahan,” katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen, hari ini.
Semalam, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menegaskan pencemaran logam berat itu kurang daripada 0.01 miligram, iaitu rendah daripada piawaian ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia, sekali gus air terawat daripada LRA Sungai Ganda adalah selamat. – UTUSAN ONLINE










