KUALA LUMPUR 11 April – PKR berikrar akan sentiasa berdiri teguh di belakang Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan juga akan memberikan segala bantuan diperlukan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam mengembalikan Felda ke era kegemilangannya.
Ketua Penerangannya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin berkata, PKR mengalu-alukan langkah dan usaha penyelamatan Felda yang dilakukan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi malah menyokong penuh enam agenda pemerkasaan yang telah dijanjikan kerajaan Pakatan Harapan kepada agensi itu.
“Merujuk kepada Kertas Putih Felda yang telah dibentangkan oleh Mohamed Azmin semalam, PKR ingin menyatakan sokongan dan keyakinan penuh kepada enam agenda pemerkasaan peneroka dan generasi baharu Felda di dalam model baharu yang telah digariskan oleh beliau.
“Model baharu Felda ini akan memberi fokus kepada usaha pemulihan agensi itu sebagai wahana untuk mengangkat darjat peneroka melalui pembasmian kemiskinan, memperbaiki ekonomi bandar dan desa serta memacu industri perladangan, pertanian dan makanan negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Shamsul Iskandar, pembentangan Kertas Putih Felda juga merupakan bukti kesungguhan dan komitmen kerajaan Pakatan Harapan serta keprihatinan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi terhadap masalah warga Felda.
“Mengetahui betapa pentingnya sokongan warga Felda terhadap Pakatan Harapan, Mohamed Azmin sebagai Timbalan Presiden PKR telah mengambil pendekatan yang amat cermat, induktif dan berprinsip dalam menangani permasalah warga Felda bagi memastikan kebajikan dan kelangsungan mereka terjamin dan terjaga.
“Tidak ketinggalan, usaha dan komitmen Kementerian Industri Utama yang sentiasa menjadikan isu kelapa sawit sebagai keutamaan pada setiap masa,” katanya. – UTUSAN ONLINE










