REMBAU 11 April – Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini menjemput orang ramai terutamanya para pengundi dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau hadir ke Ceramah Perdana secara besar-besaran malam ini.
Beliau yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil DUN itu berkata, acara mega itu akan diadakan mulai pukul 9 malam di tapak Pasar Malam Angsamas di Rantau dekat sini.
Menurutnya, ceramah itu akan menggabungkan beliau bersama Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong; Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
“Malam ini saya jemput semua ke Ceramah Perdana ini yang menyaksikan kami di atas pentas secara bersama sebagai kemuncak kepada kempen besar-besaran BN dalam PRK ini. Orang ramai boleh melihat sendiri pelbagai agenda dalam usaha hendak menyatupadukan masyarakat.
“Ini adalah hasrat kami menjadi gabungan parti pembangkang melibatkan bukan saja BN tetapi Pas, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti yang bergabung dengan BN,” katanya dalam sidang akhbar di Rantau dekat sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










