Peras ugut pasar borong: Dua lagi ditahan - Utusan Malaysia

Peras ugut pasar borong: Dua lagi ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 11 April – Polis menahan dua lagi lelaki dipercayai terlibat dalam kegiatan memeras ugut peniaga di Pasar Borong Kuala Lumpur di sini semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, dengan menahan dua lelaki tempatan berusia 49 dan 64 tahun itu, jumlah yang ditahan berhubung kes tersebut menjadi sebanyak empat orang.

“Dua individu yang ditahan sebelum ini masih dalam tempoh reman sehingga esok manakala dua tangkapan baharu yang ditahan pukul 2.30 petang semalam itu ditahan reman sehingga Sabtu untuk disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan iaitu melakukan pemerasan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita juga telah mengadakan Op Bersepadu Khas di kawasan Pasar Borong Kuala Lumpur dan Pasar Harian Selayang bermula tengah malam tadi sehingga pukul 8.45 pagi yang turut disertai Jabatan Imigresen Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai operasi tersebut, Mazlan berkata, sebanyak 113 daripada 191 warga asing yang diperiksa telah ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan.

“Kesemua yang ditahan terdiri daripada warga Myanmar sebanyak 102 orang termasuk tiga wanita, Bangladesh (5), Indonesia (2), India (2), Thailand (1) dan Nepal (1).

“Tindakan akan diambil mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit sah dan akta akta yang berkaitan,” jelasnya.

Tambah Mazlan, Polis Kuala Lumpur memandang serius dan amat komited serta akan meneruskan operasi tersebut dari semasa ke semasa bagi membanteras permasalahan kebanjiran pendatang asing tanpa izin sekaligus memastikan pasar-pasar tersebut bebas dari sebarang unsur gangsterisme.

“Kita juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati membuat kutipan wang serta mengambil kesempatan ke atas peniaga-peniaga dengan cara membuat ugutan atau mendatangkan ketakutan kepada mereka.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat bolehlah menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, Ibu pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-4048 2225 atau mana-mana balai polis yang berdekatan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini