KOTA BHARU – Hasil kutipan jualan tiket setiap perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini akan digunakan sepenuhnya untuk membayar gaji barisan pemain The Red Warriors (TRW) musim ini.
Ahli Lembaga Pengarah KRW Sdn. Bhd., Syed Abdullah Syed Mahmood berkata, pendekatan tersebut merupakan langkah jangka pendek dalam usaha membantu menyelesaikan masalah kewangan yang sedang membelenggu persatuan ketika ini.
Menurutnya, aksi menentang PDRM malam esok menjadi titik permulaan kepada langkah berkenaan yang kemudian akan diteruskan sehingga akhir musim ini.
“Segala hasil kutipan tiket akan digunakan untuk bayar gaji pemain dan perkara ini sudah dimaklumkan kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Bibi Ramjani Ilias Khan dan timbalannya Datuk Seri Affandi Hamzah.
“Tugas Kafa selesaikan bayaran sewa stadium dan belanja pengurusan semasa perlawanan,” katanya pada sidang akhbar di sini malam tadi selepas program bual bicara secara langsung menerusi laman sosial Facebook.
Syed Abdullah yang juga Presiden Kelab Penyokong Kafa memberitahu, untuk tahun ini KRW Sdn. Bhd. hanya akan membantu melicinkan dan mengurangkan kos yang ditanggung oleh TRW selain menarik penyokong ke stadium.
Katanya, usha itu juga merupakan salah satu usaha menjaga kebajikan barisan pemain TRW musim ini.
“Saya amat menititikberatkan soal kebajikan pemain. Jangan sesiapa membuat onar dengan pemain TRW.
“Tak kira presiden atau barisan exco Kafa, jika ada membuat onar maka mereka perlu berdepan dengan saya,” ujarnya.- K! ONLINE










