KUALA LUMPUR 11 April –Kedudukan Malaysia dalam perkhidmatan membaiki kabel dasar laut antara terendah di dunia sehingga memberi kesan negatif terhadap daya saing negara dalam menarik pelaburan tempatan dan asing dalam sektor telekomunikasi dan internet.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, ini berikutan tempoh membaiki kabel dasar laut di negara ini terlalu panjang menyebabkan kerugian kepada pengguna biasa dan perniagaan yang memerlukan rangkaian telekomunikasi untuk berhubung.
Selain itu, katanya, didapati berlaku kesukaran permohonan membawa masuk kapal asing untuk melakukan pembaikan kerosakan kabel dasar laut di negara ini.
“Proses pembaikan memerlukan jangka masa segera bagi mengelakkan kerugian dan masalah dalam talian komunikasi yang berterusan.
“Menurut laporan International Cable Protection Committee 2016, bilangan hari yang diperlukan untuk melakukan proses pembaikan kabel di perairan Malaysia adalah 27 hari. Ini bermaksud, jika kabel rosak, ia mengambil masa yang amat panjang untuk diperbaiki.
“Kedudukan prestasi Malaysia adalah antara yang terendah di dunia dan ini memberi kesan yang negatif terhadap daya saing kita dalam menarik pelaburan tempatan dan asing dalam sektor telekomunikasi dan internet,” katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan menteri dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian sewaktu menjawab soalan Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) yang meminta Menteri menyatakan pertimbangan kerajaan memberi pengecualian kepada semua kapal asing yang terlibat dalam kerja-kerja pembaikan kabel dasar laut. – UTUSAN ONLINE










