KUALA LUMPUR 11 April – Seorang penggali kubur ditahan kelmarin selepas disyaki merogol gadis bawah umur di sebuah rumah panjang di Batu 20, Jalan Oya, Sibu Sarawak.
Memetik laporan Utusan Borneo, suspek berusia 22 tahun itu direman selama enam hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Superintenden Stanley Jonathan Ringgit ketika dihubungi Utusan Borneo berkata, kes itu terbongkar selepas mangsa yang berumur 14 tahun membuat pemeriksaan di Poliklinik Oya di sini kerana masalah kelewatan datang haid.
“Keputusan pemeriksaan air kencing mangsa bagaimanapun negatif dan berikutan itu pihak klinik telah memaklumkan kepada polis mengenai pesakit yang membuat pemeriksaan itu,” katanya.
Tambah Stanley, hasil siasatan mangsa juga mengakui dia kerap melakukan hubungan seks dengan suspek sebelum ini.
Ujarnya, mangsa merupakan anak sulung daripada empat adik-beradik dan tidak bersekolah lagi sejak tingkatan satu dan telah berkenalan dengan suspek yang juga jirannya sejak Mac tahun lalu.
Menurutnya lagi, perhubungan mangsa dengan suspek direstui keluarga kedua-dua belah pihak dan mereka tinggal bersama di rumah suspek sehingga berpindah ke Port Dickson pada akhir Mac tahun lalu.
“Siasatan lanjut mendapati mangsa mula mengadakan hubungan seks dengan suspek sejak April tahun lalu.
“Kali terakhir mereka melakukannya hubungan adalah pada Selasa lalu selepas mereka berpindah kembali ke rumah panjang suspek,” jelasnya.-UTUSAN ONLINE










