KUALA LUMPUR 11 April – Panik dituduh terlibat kes pengubahan wang haram sebanyak RM1.2 juta, seorang suri rumah di Miri, Sarawak mengalami kerugian apabila wang simpanannya berjumlah RM239,000 lesap setelah diperdaya sindiket Macau Scam.
Memetik laporan Utusan Borneo, mangsa berusia 40 tahun itu dikatakan telah dihubungi seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Lapor Utusan Borneo, mangsa telah dimaklumkan oleh lelaki tersebut dirinya mempunyai hutang Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebanyak RM45,700 bagi sebuah syarikat yang didaftarkan atas nama nya.
Mengulas kenyataan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak, Superintenden Mustafa Kamal Gani Abdullah, mangsa bagaimanapun menafikan perkara tersebut namun taliannya kemudian disambungkan kepada seorang lelaki yang menyamar sebagai polis bagi menguruskan proses penyelesaian hutang GST berkenaan.
“Suspek tersebut turut memaklumkan bahawa namanya turut terlibat dalam sindiket kes pengubahan wang haram berjumlah RM1.2 juta.
“Mangsa yang panik telah diugut dan diberi pilihan sama ada menyerah diri atau membuat pindahan wang dari akaun mangsa kepada akaun yang akan diberikan suspek, kononnya bagi tujuan siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Mustafa Kamal, suspek turut mengugut akan membuat tangkapan terhadap mangsa sekiranya wanita itu tidak memberikan kerjasama.
“Mangsa kemudian mengikuti arahan suspek yang mana dikehendaki untuk membuka akaun bank baharu dan memindahkan wangnya sebanyak RM213,000 ke dalam akaun tersebut.
“Seterusnya mangsa mengeluarkan wang berjumlah RM26,000 daripada akaun banknya dan kemudian memasukkan wang tersebut ke dalam akaun bank suspek selain memberikan log masuk perbankan internet dan Kod Pengesahan Transaksi (TAC) kepada suspek,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Mustafa Kamal memberitahu,mangsa menyedari dirinya ditipu setelah suspek tidak lagi dapat dihubungi.
Dalam kes berasingan, nasib yang sama turut menimpa seorang suri rumah berusia 39 tahun di Bintulu, Sarawak turut kerugian RM2,380 setelah diperdaya sindiket Macau Scam.-UTUSAN ONLINE










