Rakyat bertenang, pertukaran MB tidak ganggu kemajuan negeri - Utusan Malaysia

Rakyat bertenang, pertukaran MB tidak ganggu kemajuan negeri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 10 April – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berharap peralihan pucuk pimpinan melibatkan Menteri Besar Johor yang baharu berjalan lancar serta usaha memacu kemajuan negeri ini tidak akan terganggu.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga mahu rakyat Johor dan ahli-ahli parti bertenang serta patuh dengan sebarang keputusan yang akan diputuskan kepimpinan negeri.

“Saya berharap proses penggantian Menteri Besar Johor akan berlangsung dengan teratur dan sempurna agar pentadbiran kerajaan negeri Johor berjalan lancar,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, Bersatu menghormati keputusan Datuk Osman Sapian melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar dan bagi pihak parti merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas sumbangan dan khidmat baktinya sebelum ini.

Beliau memberitahu, surat peletakkan jawatan Osman sudah dipersembahkan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 8 April lalu.

Jelasnya, nama bakal pengganti Osman akan dipersembahkan kepada Baginda untuk mendapat perkenan selepas peletakan jawatannya diterima Sultan Johor.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, Pakatan Harapan (PH) komited untuk memastikan Johor terus maju, makmur dan sentosa. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini