BATU GAJAH – Seorang penuntut wanita di sebuah kolej swasta di Batu Gajah Perdana, Pusing di sini berhadapan detik-detik hitam apabila dia dicabul seorang pemandu Grab dalam kejadian berhampiran sebuah kedai kosong di Taman Tronoh Universiti dekat sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, mangsa yang berusia 20 tahun itu menaiki kereta jenis Saga BLM milik suspek pada pukul 6.45 petang dari Manjung untuk pulang ke asramanya selepas menempah perkhidmatan Grab tersebut melalui telefon bimbitnya.
“Dalam perjalanan ke asrama itu, pemandu Grab berusia 29 tahun berkenaan telah menghentikan keretanya di lokasi kejadian sebelum keluar dari tempat pemandu dan masuk semula ke dalam kereta di bahagian tempat duduk penumpang belakang.
“Suspek bertindak meraba payudara, kemaluan, badan dan tangan mangsa sebelum menyuruh mangsa memegang kemaluannya namun mangsa enggan berbuat demikian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Tambah Ahmad Adnan, mangsa seterusnya menolak suspek dan berlaku pergelutan antara mereka sebelum suspek keluar dari tempat duduk penumpang belakang dan meneruskan pemanduan untuk menghantar mangsa ke asramanya.
“Tiba di hadapan asrama mangsa, suspek telah berpesan kepadanya supaya tidak menceritakan kejadian tersebut kepada orang lain selain tidak membuat laporan polis.
“Mangsa bagaimanapun kemudian hadir ke Balai Polis Tronoh untuk melaporkan kejadian tersebut pada pukul 4.35 petang semalam,” katanya.
Menurutnya, mangsa mendakwa suspek hanya bercakap mengenai seks sepanjang perjalanan mereka ke asramanya yang mempunyai jarak kira-kira 60 kilometer.
“Bertindak atas laporan tersebut, suspek yang merupakan pemandu Grab bermula Februari lalu itu ditahan di pekan Lumut pada pukul 12.30 tengah hari tadi.
“Kereta milik suspek yang digunakan untuk melakukan jenayah tersebut turut dirampas,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan. – K! ONLINE











