PUTRAJAYA 10 April – Wisma Putra mengesahkan bahawa rakyat Malaysia yang menjadi mangsa culik di Filipina, Jari Abdullah telah meninggal dunia di West Metro Medical Centre, Zamboanga City, Mindanao pada pukul 1.17 petang semalam, waktu tempatan.
Menurut Wisma Putra, Konsul Jeneral Malaysia ke Davao City telah dihantar ke Zamboanga sejak 5 April lalu bagi memantau keadaan mangsa di samping menghulurkan bantuan yang sewajarnya kepada keluarga mangsa.
Jelas Wisma Putra lagi, pihak konsul juga sedang meyempurnakan urusan supaya jenazah mangsa dibawa pulang ke tanah air dengan seberapa segera.
“Jenazah mangsa dijadual diterbangkan pulang ke Malaysia esok dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Sandakan pada pukul 7.45 pagi Jumaat,” jelasnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kerajaan Malaysia jelas Wisma Putra, ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan serta pihak berkuasa Filipina di atas usaha mengesan dan menyelamatkan mangsa sejak dia diculik pada 6 Disember 2018.
“Kementerian Luar juga ingin merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga dan kenalan mangsa di atas pemergiannya,” jelasnya.
Menurut laporan, Jari dan dua rakannya yang juga warga Indonesia, Heri Ardiansyah, 19, serta Hariadin, 45, diculik kumpulan pengganas ketika memukat ikan di perairan Pegasus Reef, di Kinabatangan pada 6 Disember lalu.
Penculik itu kemudiannya melarikan mangsa ke Selatan Filipina dan meminta wang tebusan sebanyak RM4 juta bagi setiap seorang.
Pada 4 April lalu, Jari parah selepas terkena tembakan di kepala dan dada ketika menyelamatkan diri daripada menjadi tebusan kumpulan Abu Sayyaf, di Pulau Simusa, Sulu.
Mangsa kemudiannya ditemui pasukan keselamatan Filipina sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
Seorang lagi rakannya, Heri, diselamatkan daripada perairan berhampiran Pulau Simusa, manakala Hariadin dipercayai lemas dan mayatnya ditemukan oleh pasukan keselamatan Filipina ketika kedua-duanya difahamkan cuba berenang untuk menyelamatkan diri di pulau berkenaan. – UTUSAN ONLINE











