SEMENJAK kepulangannya dari mengerjakan ibadah umrah Februari lalu, pelawak dan pelakon Ebby Yus, 54, mengakui mengalami banyak perubahan.
Nikmat dijemput untuk menjejakkan kaki di Tanah Suci meskipun ketika itu dia tidak punya apa-apa, memberi seribu keinsafan buatnya.
Pun begitu, dia tetap optimis dan positif walau di saat tidak memiliki kekayaan dan diuji dengan masalah kesihatan, di sudut hatinya tetap ada rasa kesyukuran kerana masih diterima menjadi tetamu Allah.
Ikuti perbualan antara HITS bersama pelakon Simpang Tiga itu ketika bertandang ke kediamannya baru-baru ini.
HITS: Apa perubahan besar yang anda alami sekembalinya ke tanah air setelah mengerjakan ibadah umrah baru-baru ini?
EBBY: Keadaan kesihatan saya lebih baik daripada sebelum pergi umrah. Contohnya sebelum ini mata senang silau bila cuaca panas tetapi sekarang semakin berkurangan.
Selain itu, saya juga sudah boleh turun naik tangga berbanding sebelum ini yang agak sedikit terbatas.
HITS: Barangkali itu berkat doa yang dimohon selama dua minggu berada di Tanah Suci?
EBBY: Ya, sudah tentu saya ambil kesempatan itu dengan mendoakan saya terus sihat berpanjangan.
Saya berdoa yang baik-baik untuk diri sendiri dan orang sekeliling saya. Sebenarnya dah dapat peluang berada di rumah Allah pun sudah cukup menginsafkan.
HITS: Boleh anda kongsikan pengalaman sepanjang di sana?
EBBY: Saya ke sana dengan tiada duit selain tahap kesihatan yang tidak menentu. Namun saya percaya kalau panggilan Allah tidak kira situasi. Tak perlu tunggu kita berduit atau sihat tubuh badan baru nak pergi.
Pada saya, itu sudah lebih menggembirakan. Saya yang tak pernah terfikir akan sampai ke sana, Alhamdulillah akhirnya pada usia begini masih diberi kesempatan.
Saya tidak alami masalah kesihatan sewaktu di sana malah berpuas hati kerana dapat merasai pengalaman berjalan mengerjakan tawaf. Tetapi hari kedua dan seterusnya saya terpaksa menggunakan skuter. Apa pun saya gembira dan lega dapat juga rasa sendiri berjalan kaki walaupun sekali.
Tuhan bagi saya selesaikan ibadah dalam keadaan tenang tanpa diuji dengan sakit seperti demam dan sebagainya. Selama 14 hari di Mekah dan Madinah, semuanya berjalan lancar.
HITS: Ada mulut-mulut ‘nakal’ yang kata apa yang dilalui anda ketika ini ialah karma? Boleh komen?
EBBY: Ia terserah pada yang menganggapnya begitu. Kalau dia melihat saya itu sebagai karma, saya terima. Jika dia kata ia satu ujian yang diturunkan oleh Allah, pun saya terima. Sebab karma dan ujian itu bukan hak kita untuk meletakkan pada sesiapa.
Saya tak marah malah memaafkan mereka yang berkata demikian. Apa sahaja perkataan yang keluar dari mulut orang lain, saya langsung tak berkecil hati walau dulu pernah tular tentang saya telah meninggal dunia.
Hidup ini kadang kita berada di atas dan ada ketika di bawah, kita harus terima. Fasa kejatuhan saya sebenarnya dua kali. Pada 1998 saya jalani pembedahan pintasan jantung, ketika itu karier seni saya jatuh merudum. Tak lama lepas itu saya kembali naik dan sekarang sekali lagi saya terjatuh. Saya tetap terima itu sebagai takdir dan reda.
HITS: Dari segi kerjaya pula bagaimana sekarang? Adakah masih membataskan waktu untuk karier seni?
EBBY: Masa kisah sakit saya tular tak lama dulu, jujurnya memang banyak dapat panggilan untuk berlakon. Tapi saya tak mampu nak buat kerana keadaan kesihatan tak mengizinkan.
Tetapi untuk pengetahuan semua, sekarang saya dah boleh bekerja sedikit. Cuma saya akan beri keutamaan untuk kerja di dalam studio seperti program lawak dan yang berkaitan dengannya.
Buat masa ini saya masih membataskan pergerakan untuk menjalani penggambaran di luar. Lebih-lebih lagi sekarang musim panas, memang saya akan mudah jatuh sakit kalau berpanas lama di luar.
Insya-Allah, Julai nanti saya akan kembali masuk set penggambaran sitkom Jenaka Kampung Kalut.
HITS: Bagaimana dengan tahap kesihatan anda sekarang?
EBBY: Saya menghidap penyakit kronik seperti buah pinggang, jantung dan kencing manis. Keadaan kesihatan saya beginilah tetapi boleh dikatakan lebih baik dari tahun lepas.
Kalau dulu saya hanya terperap di rumah selama setahun sehinggakan jiran-jiran pun tak tahu yang saya sakit. Saya bersyukur kerana masih ramai yang prihatin selepas kisah saya menjadi tular walaupun saya jenis yang tak suka jaja cerita tentang sakit.
Saya masih perlu jalani rawatan susulan dengan doktor pakar di hospital dan perlu makan ubat-ubatan yang dibekalkan. Selain itu, saya juga buat rawatan alternatif bersama seorang doktor bersara.
HITS: Apa komen anda apabila ada wanita yang menawarkan diri untuk bergelar isteri?
EBBY: Kadang-kala simpati orang boleh sampai ke tahap begitu. Saya terharulah bila baca pasal kisah itu sebelum ini. Cuma saya juga kesian dekat orang yang mahukan saya kerana saya dalam keadaan sakit.
Lebih baik kita berkawan baik dan doakan yang baik-baik untuk kita semua.










