KUALA LUMPUR 10 April – Bergantung pada keperluan sama ada Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 perlu dibentangkan semula ke Dewan Rakyat.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad walau bagaimanapun enggan mengulas lanjut kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) meraih sokongan dua pertiga majoriti bagi meluluskan RUU tersebut. “Kita tak dapat, kita tak dapatlah. Itu mungkin kemudian kita akan bincang perkara ini dengan mereka,” katanya dalam sidang akhbar di lobi Parlimen, hari ini.
Beliau diminta mengulas sama ada pembentangan semula RUU itu akan dilakukan selepas PH hanya menerima 138 undi wakil rakyat, semalam.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Langkawi berkenaan memberitahu, kerajaan PH keliru dengan permintaan pelbagai pihak sama ada perlu bergerak dengan perlahan atau pantas untuk melakukan sesuatu. “Hampir setahun sejak menjadi kerajaan, ramai yang tanya kenapa kami tidak melakukan itu dan ini. Kemudian, kami buat cepat, mereka suruh kami perlahan.
“Kami sangat keliru sama ada perlu perlahan atau bergerak laju,” katanya bagi mengulas gesaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) supaya pindaan tersebut di bawa kepada Jawatankuasa Pilihan Khas terlebih dahulu. – UTUSAN ONLINE











