KUALA LUMPUR 10 April – Sebanyak 43 individu termasuk empat majikan warga tempatan dihadapkan di Mahkamah Sesyen Sepang, dekat sini hari ini hasil serbuan Op Jejak dan Op Kota Raya dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia pada Mac lalu.
Ketua Unit Pendakwaan Jabatan Imigresen Putrajaya, Kasthuri Bai bagaimanapun berkata, hanya seorang daripada empat majikan berusia antara 50 hingga 54 tahun itu yang hadir pada hari ini untuk sebutan kes tersebut.
“Orang kena tuduh (OKT) yang hadir dikenakan ikat jamin sebanyak RM5,000 selepas dia mengaku tidak bersalah, manakala mahkamah mengeluarkan waran tangkap untuk tiga lagi OKT yang tidak hadir.
“Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 55E(1) Akta Imigresen 1959/63 kerana membenarkan pendatang asing tanpa izin (PATI) memasuki atau tinggal di dalam premis yang ianya mempunyai kepentingan sebagai penyelia atau menguruskan atau mempunyai kawalan ke atas mana-mana premis tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, Kasthuri berkata, daripada 39 wanita warga asing yang didakwa, 30 mengaku bersalah dan dikenakan hukuman penjara antara satu hingga tiga bulan, manakala sembilan yang tidak mengaku salah akan dibicarakan pada Rabu depan.
Katanya, kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 56(1)(l) akta sama dan Peraturan 39(b) Peraturan Imigresen 1963.
Sebelum ini, media melaporkan Op Jejak dan Op Kota Raya yang dilancarkan oleh SPRM dengan kerjasama Jabatan Imigresen berjaya menahan 41 wanita warga asing.
SPRM pula menahan 14 orang termasuk tujuh pegawai agensi penguat kuasa serta tiga orang awam kerana melindungi pusat-pusat urut haram.
Penahanan itu juga melibatkan empat peniaga kerana membayar wang rasuah bagi melindungi kegiatan menggajikan pekerja asing di premis mereka. – UTUSAN ONLINE











