ALOR SETAR – Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) Kedah berjaya mematahkan cubaan satu sindiket untuk menyeludup kira-kira 51,500 karton rokok putih jenama baharu dianggarkan bernilai RM7.8 juta termasuk cukai di utara Johor semalam.
Dalam operasi Ops Selatan kira-kira pukul 1 pagi itu, sepasukan penguat kuasa Aksem bertindak menahan dua buah lori dengan muatan rokok seludup tersebut di Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara berhampiran sempadan Melaka.
Komander Aksem negeri, Abd. Latif Abdul Rahman berkata, bertindak atas maklumat risikan, penguat kuasa Aksem mengekori dua buah lori berkenaan dari satu kawasan di selatan Johor sejauh kira-kira 150 kilometer (km) sebelum menahan kedua-dua kenderaan berat tersebut.
“Pemeriksaan mendapati dua lori itu ditinggalkan pemandunya di tepi lebuh raya dalam keadaan enjin masih hidup dan brek tangan tidak sempat ditarik,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Anak Bukit di sini hari ini.
Kata beliau, pihaknya percaya kedua-dua pemandu lori melarikan diri dengan menaiki kenderaan lain dipandu tonto.
“Beberapa kenderaan termasuk Toyota Alphard yang dipercayai dinaiki tonto dilihat mengawasi pergerakan dua lori tersebut di sepanjang perjalanan,” ujarnya.
Menurut Abd. Latif, pemeriksaan lanjut mendapati sebanyak 1,030 kotak yang setiap satu berisi 50 karton rokok jenama Zon King ditemui di dalam kedua-dua lori tersebut.
“Rokok yang dirampas dianggarkan bernilai RM848,800 manakala nilai cukai sebanyak RM6.9 juta,” jelasnya.
Tambahnya, pihaknya percaya rokok-rokok itu diseludup melalui laluan laut sebelum tiba di sebuah pelabuhan di Johor seterusnya dipindahkan ke dalam lori dipercayai untuk dihantar ke stor haram sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang.
“Kesemua barang rampasan termasuk dua lori bernilai RM450,000 itu turut dirampas dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967,” katanya. – K! ONLINE











