Saga baharu Menteri Besar Johor bermula - Utusan Malaysia

Saga baharu Menteri Besar Johor bermula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APABILA Datuk Osman Sapian sah meletak jawatan sebagai Menteri Besar Johor, maka tamatlah speksulasi mengenai kendudukannya yang berlegar-legar dan menjadi tanda tanya sebelum ini sekali gus melenyapkan pelbagai spekulasi.

Kini lembar baharu mengenai saga Menteri Besar Johor yang baharu bermula. Spekulasi baharu pula mula mengambil alih mengenai siapa yang bakal menjadi Menteri Besar ke-17 bagi menggantikan Osman yang sedang bercuti.

Sama ada Osman menjadi mangsa keadaan dan ketamakan pihak tertentu atau peletakkan jawatannya disebabkan kemelemahan beliau dalam mentadbir negeri, semua itu sudah berlalu di sebalik lembaran 11 bulan lalu. Sumbangan dan jasa beliau wajar dikenang rakyat Johor.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketika ini beberapa parti komponen Pakatan Harapan (PH) Johor sudah menghantar nama calon masing-masing dan peringatan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim supaya Menteri Besar baharu tidak menjadi yes man kepada Putrajaya perlu diselami maksudnya.

Bukan sahaja calon Menteri Besar baharu itu tidak perlu tunduk atau menjadi boneka kepada Putrajaya tetapi terhadap kepentingan mana-mana pihak melainkan berkhidmat sepenuhnya kepada rakyat Johor mengikut landasan Islam.

Persoalan siapa dan dari parti mana akan dilantik menjadi Menteri Besar, semuanya akan terjawab apabila Sultan Johor pulang dari luar negara pada Khamis ini. Kalau dilihat daripada segi relevannya, Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) paling layak menduduki kerusi tersebut.

PH memiliki 39 kerusi, Pas (1) dan Barisan Nasional (16), daripada jumlah tersebut Bersatu mempunyai 11 kerusi, DAP (16), Parti Amanah (9) dan PKR (5). Dalam pertembungan ini calon Bersatu dan PKR dilihat masing-masing bersaing antara satu sama lain.

PKR mempertaruhkan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan Johor, Mohd. Khuzzan Abu Bakar manakala Bersatu Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr. Sahruddin Jamal. Kedua-duanya merupakan pemimpin muda dan masih kurang berpengalaman.

Melihat kepada sisi yang terselindung, tidak dinafikan akan berlaku pertembungan antara calon pilihan Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan calon PKR yang direstui Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ini akan menimbulkan konflik baharu dalam politik Johor.

Sekiranya dilihat daripada segi senioriti pula, Mohd. Khuzzan dan Sahruddin masih baharu dan belum benar-benar diuji kemampuan apatah lagi tidak mempunyai pengalaman luas dalam bidang pentadbiran negeri.

Mereka tidak seperti bekas-bekas Menteri Besar Johor sebelum ini yang mempunyai banyak pengalaman sebelum dilantik sebagai Menteri Besar.

Mungkin peluang Sahruddin dilihat lebih cerah kerana faktor beliau orang kepercayaan dan rapat dengan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin walaupun Kuzzan sebelum ini pernah menjadi Setiausaha PKR negeri.

Walau siapapun menjadi Menteri Besar, kesepakatan dan persetujuan semua dalam komponen parti PH secara kolektif dan konsensus perlu diperoleh kerana jika sebaliknya, masalah lain pula akan timbul pada kemudian hari.

Menjadi Menteri Besar di Johor tidak sama dengan negeri lain kerana perlu memastikan segala keputusan selari dengan kehendak dan kepentingan Putrajaya selain mendapat perkenan pihak istana.

Sama ada Menteri Besar daripada PH atau Barisan Nasional (BN), ini adalah cabaran dan hakikat yang perlu ditempuh calon Menteri Besar berkenaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini