Penyeludup warga emas ditahan - Utusan Malaysia

Penyeludup warga emas ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT 10 April – Seorang warga emas berusia 60 tahun dicekup Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor bersama 1,080 liter minyak diesel dipercayai untuk diseludup keluar dalam serbuan di rumahnya di Kampung Simpangan, di sini tengah malam tadi.

Dalam serbuan pukul 12.10 tengah malam itu PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor turut merampas sebuah lori jenis Toyota yang digunakan suspek untuk menyimpan bahan api berkenaan.

Pegawai Pemerintah PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, Asisten Superitanden Mohd. Rudzuan Ahmad berkata, rampasan itu membabitkan nilai keseluruhan termasuk minyak diesel dan lori berjumlah RM17,354.40.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan oleh pegawai dan anggota PPM telah membawa kepada penemuan beberapa buah tong minyak di atas sebuah lori dan kawasan belakang rumah suspek.

“Kita turut menemui tangki tambahan pada lori berkenaan yang digunakan untuk menyimpan bahan api tersebut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd. Rudzuan memberitahu, kesemua bahan rampasan dan suspek dibawa ke Markas Operasi PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes tersebut telah diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk tindakan lanjut.

Mohd. Rudzuan berkata, pihaknya akan terus mempertingkatkan lagi operasi membanteras aktiviti penyeludupan dan jenayah lintas sempadan di sekitar Sungai Golok. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini