PADANG BESAR 10 April – Sekumpulan penjenayah yang disyaki geng penyeludup ketum bukan sahaja berani melakukan perbuatan itu secara terang-terangan di siang hari, malah semakin ganas apabila cuba merempuh tiga anggota penguat kuasa yang cuba menghalang mereka.
Berikutan kejadian kira-kira pukul 1.30 petang di sebuah kebun getah di Taman Radzi di sini, semalam, dua daripada tiga anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) terpaksa melepaskan tiga das tembakan iaitu satu das ke udara dan dua lagi ke arah sebuah trak pikap.
Kejadian berlaku semasa ketiga-tiga anggota berkenaan sedang membuat rondaan secara bersama dengan menunggang motosikal di kawasan berkenaan.
Dalam kejadian tersebut, tiga orang lelaki tempatan berusia 33, 38 dan 43 tahun berjaya ditangkap.
Menurut Ketua Polis negeri, Datuk Noor Mushar Mohd., insiden berlaku semasa anggota-anggota itu terserempak dengan sebuah trak pikap jenis Nissan Navara berwarna hitam, dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, anggota-anggota PGA itu cuba menghalang tetapi kenderaan tersebut cuba merempuh pasukan penguat kuasa berkenaan.
“Berikutan itu, seorang daripada anggota ini terpaksa melepaskan satu das tembakan amaran di udara. Tidak lama selepas itu, sebuah lagi trak pikap lain dikesan dan pemandunya berjaya ditahan (lelaki ketiga).
“Hasil pemeriksaan mendapati trak pikap kedua tersebut yang berwarna putih, merupakan kenderaan Thailand,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Tambah Noor Mushar, tidak lama selepas itu, anggota-anggota berkenaan meneruskan rondaan dan berjaya mengesan trak pikap pertama dan sebuah lagi kereta lain bersama beberapa orang lelaki yang sedang memunggah guni berwarna putih.
“Anggota-anggota berkenaan telah memperkenalkan diri menyebabkan kesemua mereka memasuki kenderaan masing-masing dan trak pikap tersebut sekali lagi cuba merempuh pasukan penguat kuasa,” katanya.
Kata Noor Mushar, berikutan itu, dua das tembakan telah dilepaskan dan mengenai tayar trak pikap tersebut menyebabkan dua orang berjaya ditangkap manakala yang lain meloloskan diri.
Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh anggota polis yang membawa hukuman penjara selama 10 tahun dan denda jika disabitkan kesalahan. – UTUSAN ONLINE











