KUALA LUMPUR 10 April – Kewujudan pasukan Felda United dalam kancah liga bola sepak tempatan dipersoalkan di Parlimen hari ini.
Perkara itu dibangkitkan oleh Datuk Rosol Wahid (PH-Hulu Terengganu) yang bertanyakan alasan kewujudan Felda United sedangkan pemilik pasukan, Felda kini dikatakan bergelut dengan masalah kewangan.
“Apakah relevannya pasukan boleh sepak ini ditubuhkan dan berapa banyak Felda membiayai pasukan ini setiap tahun sehingga sekarang?
“Kita ingin mengetahui juga kerana dikatakan bahawa sukan bola sepak ini jauh lari daripada tujuan asal penubuhan Felda,” katanya ketika membahaskan Kertas Putih memulihkan Felda di Dewan Rakyat hari ini.
Bagaimanapun Datuk Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) mencelah dengan menjelaskan Felda United boleh dijadikan landasan kepada anak-anak peneroka untuk mengembangkan bakat dalam sukan bola sepak.
Beliau juga mahu tahu apa yang akan terjadi kepada Stadium Tun Abdul Razak di Jengka, Pahang sekiranya pasukan Felda United dibubarkan.
Kenyataan itu bagaimanapun dilihat tidak memuaskan hari Rosol dengan mempersoalkan berapa ramai anak peneroka yang kini beraksi bersama pasukan Felda United.
Felda United ketika ini berada di kedudukan ke-11 dalam Liga Super Malaysia 2019 dengan mencatatkan satu kemenangan daripada lapan perlawanan.
Dewan Rakyat pada waktu ini sedang berlangsung sesi perbahasan Kertas Putih memulihkan Felda oleh beberapa ahli Parlimen.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin dijangka menggulung dan menjawab segala isu yang dibangkitkan dalam perbahasan pada pukul 4 petang nanti. Kertas Putih itu turut mencadangkan bantuan kewangan mencecah sehingga RM6.23 bilion bagi memulihkan Felda.-UTUSAN ONLINE











