KUALA LUMPUR – Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor didakwa lagi di Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi dengan pertuduhan baharu menerima rasuah RM5 juta berhubung projek tenaga solar di sekolah luar bandar Sarawak tiga tahun lalu.
Bagaimanapun Rosmah, 68, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi.
Ini merupakan kali kedua Rosmah didakwa berhubung penyelewengan projek solar berkenaan dengan kali pertama adalah pada 15 November tahun lalu.
Mengikut pertuduhan, Rosmah didakwa telah secara rasuah menerima suapan wang tunai RM5 juta bagi dirinya daripada Saidi Abang Samsudin, 60, yang merupakan Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd.
Wang yang diterima melalui seorang individu Rizal Mansor, 45, itu sebagai upah kerana telah membantu syarikat itu mendapatkan projek yang dikenali sebagai Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan Operasi Ganset/Diesel bagi 369 Luar Bandar Sarawak RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di rumahnya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta di sini pada 20 Disember 2016.
Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar mencadangkan ikat jamin RM1 juta terhadap tertuduh bagi pertuduhan itu kerana kesalahan yang dilakukan serius.
Bagaimanapun peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengguna pakai ikat jamin kes terdahulu. – K! ONLINE











