JOHOR BAHRU 9 April – Sepucuk pistol jenis Revolver .38 milik seorang Penolong Pegawai Penyiasat Bahagian Narkotik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai yang hilang sejak 2010 ditemukan di tepi jalan Tahar 1 di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner, Shahurinain Jais berkata, pistol terbabit dijumpai pemandu lori sampah yang sedang menjalankan kerja-kerja pembersihan di kawasan terbabit pada pukul 12.50 tengah hari.
Katanya, pemandu lori itu kemudiannya melaporkan penemuan senjata api kepada polis. Susulan itu siasatan telah dijalankan di lokasi kejadian menjadi senjata terbabit berada dalam bungkusan plastik berwarna merah jambu.
“Pemeriksaan ke atas bungkusan itu menemui sepucuk pistol jenis revolver .38 dengan tulisan nombor siri yang tidak jelas dan dalam kebuk pistol itu didapati ada empat butir peluru.
“Hasil penelitian terhadap senjata tersebut dapati sudah tidak sempurna yang mana telah berkarat dan sudah tidak berfungsi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Shahurinain berkata, polis membawa pistol terbabit kepada pihak Unit Persenjataan (AMRA) sebelum nombor siri daripada pistol terbabit berjaya dikesan. – UTUSAN ONLINE











