REMBAU 9 April – Walaupun menderita lumpuh sejak 10 tahun lalu, pesara polis berpangkat lans koperal, Azhari Latiff, 58, tetap menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau hari ini.
Azhari datang dengan diusung oleh dua anak lelakinya ke pusat pengundian awal di Balai Polis Rantau di sini kira-kira puku 11 pagi.
Menurutnya, sejak malam tadi dia bersemangat untuk datang mengundi walaupun terpaksa dibantu oleh anak-anaknya.
“Saya kuatkan hati untuk datang mengundi dan saya harap pengundi Rantau juga begitu, turun tunaikan tanggungjawab mereka pada Sabtu ini.
“Sejak layak mengundi saya tidak pernah lupa untuk menjalankan setiap kali pilihan raya,” katanya ketika ditemui di pusat pengundian di Balai Polis Rantau di sini hari ini.
Azhari lumpuh selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan ke tempat kerja dan kini perlu diuruskan oleh keluarganya. – UTUSAN ONLINE











