KUALA LUMPUR 9 April – Saham-saham di Bursa Malaysia ditutup rendah pada akhir dagangan pagi hari ini, diheret turun oleh kerugian yang dicatatkan oleh Maxis, IHH Healthcare dan Axiata.
Pada 12.30 tengah hari, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 3.30 mata kepada 1,641.05 berbanding 1,644.35 pada penutupan Isnin.
Indeks turun naik antara 1,645.56 dan 1,639.67 di sepanjang sesi pagi.
Di papan skor, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 377 berbanding 327, manakala 399 kaunter tidak berubah, 752 tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 2.1 bilion saham bernilai RM1.17 bilion.
Seorang penganalisis berkata pelabur terus membuat keuntungan dalam Maxis, selepas lonjakan harga saham syarikat itu semalam.
Beliau berkata secara keseluruhan, minat baharu ke atas saham wajaran tinggi berkurangan disebabkan oleh ketiadaan berita yang boleh menggerakkan pasaran dalam negara.
“Oleh itu, pelabur mengambil pendirian tunggu dan lihat sementara menunggu petunjuk dan perkembangan dalam perang perdagangan US-China serta Brexit,” katanya.
Bagi saham wajaran tinggi, Maybank susut satu sen kepada RM9.27, Public Bank turun enam sen kepada RM22.56, Hong Leong Bank turun empat sen kepada RM20.10 namun CIMB menokok satu sen kepada RM5.10.
Maxis merosot 11 sen kepada RM5.59, Axiata turun lima sen kepada RM4.18 manakala IHH Healthcare susut enam sen kepada RM5.52.
PetChem menambah satu sen kepada RM9.12 manakala Petronas Gas menokok lapan sen kepada RM17.68, susulan harga mintak mentah Brent kekal melepasi US$70 setong.
Antara kaunter aktif, Sapura Energy susut setengah sen kepada 34.5 sen, Priceworth International tidak berubah pada 7.5 sen dan Bumi Armada menambah setengah sen kepada 20.5 sen.
Indeks FBM Emas susut 8.26 mata kepada 11,637.22, Indeks FBMT100 turun 11.35 mata kepada 11,466.68 manakala Indeks FBM Emas Shariah turun 5.89 mata kepada 11,870.87.
Indeks FBM Ace meningkat 2.85 mata kepada 4,775.95 manakala FBM70 meningkat 32.89 mata kepada 14,600.13.
Mengikut sektor, Indeks Kewangan merosot 12.73 mata kepada 16,834.29, Indeks Perladangan menokok 18.33 mata kepada 7,304.56 manakala Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perusahaan menokok 0.15 mata kepada 170.24. – BERNAMA











