REMBAU 9 April – Selain kesibukan calon-calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, pekan ini juga turut mempunyai beberapa destinasi menarik bagi mereka ingin bercuti dan bersantai bersama rakan-rakan atau ahli keluarga.
Satu kawasan di pekan Rantau menjadi pilihan pengunjung iaitu sebuah kolam memancing khususnya bagi kaki pancing yang menginginkan suasana damai dan tenang.
Kolam memancing Alang Saleh yang terletak di Jalan Rantau- Sungai Gadut di sini antara satu lokasi tumpuan pemancing yang datang dari luar daerah Rantau.
Hanya bermodalkan RM10 sahaja pengunjung boleh memancing tanpa had waktu yang ditetapkan.
Bagi seorang pemancing yang bekerja sebagai mekanik, Mohd. Annuar Aziyuddin, 33, dia sering berkunjung ke sini bagi melepaskan tekanan.
“Kolam memancing ini menawarkan pulangan ikan yang baik antaranya patin dan talapia menjadi sasaran golongan pemancing di sini,” ketika ditemui Utusan Online di sini baru- baru ini.
Menurut Annuar, sejak kempen PRK DUN Rantau diadakan didapati kolam tersebut kerap dikunjungi ahli-ahli parti politik yang ingin melepaskan penat lelah ketika berkempen dengan menjalankan aktiviti santai di sini sesama mereka. – UTUSAN ONLINE











