JOHOR BAHRU 9 April – Pasukan Polis Marin (Polis Marin) Wilayah Dua berjaya menggagalkan usaha penyeludupan rokok putih bernilai RM1.6 juta dalam satu serbuan yang dijalankan di Taman Johor, di sini awal pagi semalam.
Komander Polis Marin Wilayah Dua, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, dalam operasi pada pukul 2 pagi itu, pihaknya turut menahan seorang suspek lelaki berusia 30 tahun.
Katanya, sindiket itu dipercayai menggunakan teknik penyamaran bagi melepasi agensi penguatkuasaan memandangkan rokok berkenaan dibawa masuk ke negara ini melalui laluan darat.
“Sepasukan sembilan pegawai dan anggota yang membuat intipan terhadap sebuah lori yang mencurigakan sebelum kelihatan sebuah van mendekati lori berkenaan.
“Intipan seterusnya mendapati dua lelaki dewasa sedang memunggah sejumlah kotak dibungkus dengan plastik hitam dipercayai rokok seludup,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di ibu pejabat Polis Marin Wilayah Dua, di sini sebentar tadi.
Tambah Khon Chiang, kedua-dua suspek bertindak melarikan diri ketika serbuan dibuat sebelum seorang daripadanya berjaya ditahan manakala seorang lagi suspek berjaya melarikan diri.
“Suspek yang ditahan positif pengambilan bahan terlarang dan memiliki satu rekod jenayah lampau iaitu pecah rumah di Bahau, Negeri Sembilan.
“Suspek warga tempatan itu ditahan di lokap Ibu pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara dan akan dikenakan tahanan reman bagi membantu siasatan,” tambahnya. – UTUSAN ONLINE











