Harga RM536j terlalu murah buat Hazard - Utusan Malaysia

Harga RM536j terlalu murah buat Hazard

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON 9 April – Pengurus Chelsea, Maurizio Sarri mengakui, nilai 100 juta pound (RM536 juta) terlalu murah jika mereka mahu melepaskan Eden Hazard kepada Real Madrid.

Hazard, 28, hari ini membuktikan mengapa dia terlalu berharga buat Chelsea apabila meledak dua gol, termasuk menerusi gerakan solo yang menarik untuk membantu Blues menumpaskan West Ham 2-0.

Kemenangan itu membolehkan mereka melonjak ke tangga ketiga Liga Perdana Inggeris, dan pada kedudukan baik untuk kembali dalam kancah Liga Juara-Juara.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sarri memberitahu Sky Sports, tiada apa yang mampu dilakukan oleh Chelsea untuk menghalang Hazard daripada menyertai Real, Jun ini apatah lagi kontraknya memasuki tahun terakhir.

“Sejujurnya, saya tidak boleh buat apa-apa.

“Kelab juga bersetuju dengan pandangan saya, kalau Hazard memilih untuk mencari pengalaman baharu, amat sukar untuk menghalangnya.

“Kami memerlukan pemain sepertinya bagi meletakkan Chelsea menjadi antara pasukan terbaik di England dan Eropah tetapi kami juga perlu menghormati keputusannya,” kata Sarri.

Ketika ditanya apakah Chelsea sedia melepaskan pemain sayap Belgium itu pada harga 100 juta pound, Sarri membalas: “Harga itu terlalu murah. Dalam pasaran bola sepak sekarang, ia sangat murah”.

Bagaimanapun Sarri mengakui, dia tidak pasti apakah nilai sebenar yang layak diletakkan buat Hazard tetapi yang pasti kehilangannya mampu meninggalkan kesan besar buat kelab London itu.

Sementara itu, Hazard tidak gembira apabila penyokong West Ham melaungkan lagu ‘Dia akan ke Madrid’ sepanjang perlawanan di Stamford Bridge.

“Semua itu tidak betul.

“Pada masa ini, seluruh tumpuan saya kepada Chelsea sehingga musim ini berakhir. Kami kini berada pada landasan yang betul dengan menang tiga kali berturut-turut,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini