SHAH ALAM – Bazar Ramadan berkonsep trak makanan atau food truck akan diwujudkan di Seksyen 9 di sini bagi mewujudkan suasana lebih selesa dan tersusun kepada para pelanggan.
Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd. Rashidi Ruslan berkata, sebanyak 20 lot tapak ditawarkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang akan beroperasi bermula pukul 4 petang hingga 10 malam.
Katanya, para pengusaha Food Truck untuk meletakkan kerusi dan meja di kawasan perniagaan mereka bagi memudahkan umat Islam berbuka puasa bersama rakan mereka atau bersendirian.
“Konsep perniagaan ini semakin diterima oleh para pelanggan seterusnya akan memudahkan mereka menikmati kelainan berbanding kebiasaanya.
“Keistimewaan tapak Food Truck tersebut adalah ia menyajikan makanan lazat seperti nasi beriani, nasi kerabu, kuih tradisional dan pelbagai jenis air sama seperti bazar Ramadan yang lain,” “katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran iLesen dan Penyampaian Topi dan Apron Kepada Peniaga Bazar Ramadan MBSA di sini hari ini.
Beliau berkata, pemilihan peniaga food truck di bazar itu dilakukan menerusi first come first serve (siapa cepat dia dapat).
Jelas Mohd. Rashidi, mereka berminat boleh melayari laman sesawang bazar.mbsa. gov.my. untuk tujuan permohonan.
Dalam perkembangan sama, beliau menasihatkan peniaga bazar supaya menekankan kebersihan terutama dalam aspek penyediaan juadah.
“Kita tidak mahu kes keracunan makanan semasa bulan Ramadan di Seksyen 25 di sini beberapa tahun lalu tidak berulang kembali.
“Para peniaga dan pembantu juga diwajibkan untuk mendapat suntikan Anti-Typhoid (TY2) dan menghadiri kursus pengendalian makanan,” katanya. – K! ONLINE











