KOTA BHARU 8 April – Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Kelantan diharap mencari solusi terhadap masalah dadah yang membelenggu negeri ini terutama belia sejak sekian lama.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, majlis perundingan tersebut yang dianggotai 150 wakil agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) adalah saluran terbaik bagi mengemukakan cadangan kepada pihak kerajaan peringkat negeri dan persekutuan.
Beliau berkata, pihaknya menyedari seramai 12,703 individu menjadi `hamba’ dadah dalam tempoh lima tahun dari 2014 hingga 2018 di negeri ini namun tegasnya, masalah dadah adalah isu nasional dan bukannya harus ditangani kerajaan negeri sahaja.
“Kita bimbang dadah sebenarnya menjadi (alat) untuk melumpuhkan orang Melayu Islam dan akhirnya (merebak) menjadi perang dadah seperti Perang Candu di China.
“Apabila menyebut tentang masalah sosial, kita tidak boleh salahkan golongan belia sepenuhnya, mereka. melalui fasa pertumbuhan dari umur 12 tahun hingga 40 tahun.
“Semua pihak bertanggungjawab memberi ilmu, bimbingan agama dan bantuan keusahawanan serta menyediakan pelbagai keperluan kepada belia,”katanya selepas merasmikan Persidangan MPBN Sidang 1/2019 peringkat negeri Kelantan di Kompleks Kota Kota Darulnaim di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Roslan Wan Hamat; Penolong Pengarah 1, Cawangan Pembangunan Sosial, Bahagian Pembangunan Belia, Jabatan Belia dan Sukan Negara, Rosdi Mahmud dan Timbalan Pengarah, Jabatan Belia dan Sukan negeri, Mohamad Embong.
MPBN negeri Kelantan tahun ini mencatat sejarah apabila buat pertama kali Menteri Besar dilantik sebagai Pengerusi selepas 20 tahun penubuhannya.
Dalam pada itu, Ahmad menafikan bahawa dasar Membangun Bersama Islam yang dilaksanakan di negeri ini telah gagal berperanan menangani masalah dadah.
“Saya rasa tidak betul, kalau kita lihat perbandingan antara pelajar aliran perdana dengan sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK) misalnya, walaupun ada pelajar YIK yang terlibat dengan dadah tetapi peratus tidak banyak seperti pelajar lain,” katanya.
Beliau berkata, antara usaha yang dijalankan kerajaan negeri setakat ini adalah menerusi program Generasi Sejahtera (Gentera) yang menyediakan pelbagai aktiviti rakan sebaya di kalangan anak muda bagi memantapkan sahsiah mereka. – UTUSAN ONLINE











