SEREMBAN – Seramai 110 orang daripada jumlah keseluruhan 118 pengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau akan mula mengundi esok di dua pusat pengundian awal.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun berkata, daripada jumlah itu, 74 orang adalah anggota tentera serta pasangan yang akan mengundi di Pangkalan Udara (PU) Sendayan dan 36 orang anggota polis yang akan mengundi di Balai Polis Rantau.
“Baki seramai lapan orang pengundi yang terdiri daripada tentera akan mengundi secara pos,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Katanya, kedua-dua pusat pengundian awal akan dibuka mulai jam 8 pagi dan ditutup pada 12 tengah hari.
Azhar Azizan berkata, semua peti undi bagi pengundian awal akan disimpan di lokap balai polis dan pengiraannya akan dibuat pada hari mengundi Sabtu ini di pusat penjumlahan undi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bandar Sri Sendayan. – Bernama











