SERI MANJUNG – Seorang wanita cedera di lutut selepas dia terjatuh ketika cuba melarikan diri daripada ditahan dalam Operasi Bersepadu di sebuah pusat karaoke di sini kelmarin.
Pengarah Imigresen Perak, Kamalludin Ismail berkata, wanita tersebut merupakan salah seorang daripada 15 gadis pelayan pelanggan (GRO) warga asing berusia antara 19 hingga 32 tahun yang ditahan dalam operasi yang bermula pada pukul 10.30 malam.
“Kecekapan pegawai dan anggota penguatkuasa berjaya menumpaskan cubaan melarikan diri melalui pintu belakang pusat karaoke berkenaan.
“Kesemua 15 GRO tersebut dapat ditahan dan salah seorang daripada mereka yang cedera di lutut dibawa ke Hospital Seri Manjung untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi.
Tambah Kamalludin, berdasarkan maklumat awam dan hasil risikan, pusat karaoke tersebut dipercayai menawarkan GRO yang boleh dibawa keluar bagi tujuan khidmat seks dengan kadar bayaran antara RM500 hingga RM600.
“Ketika serbuan dilakukan, GRO tersebut sedang asyik melayan pelanggan tempatan di bilik karaoke berkenaan.
“Semua mereka berjaya ditahan dan disiasat mengikut Seksyen Seksyen6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan Peraturan 39(b) peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat Pas Lawatan dengan bekerja secara tidak sah,” katanya.
Katanya, semua mereka ditahan di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 untuk siasatan dan tindakan lanjut sebelum dibawa ke Depot Imigresen Langkap. – K! ONLINE











