SESUAI dengan nama konsert yang digelar Soul Sisters, gabungan suara tiga penyanyi iaitu Misha Omar. Noryn Aziz dan Siti Sarah bagaikan satu jiwa yang cukup hebat memberi persembahan di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 5 dan 6 April lalu.
Tatkala mereka mula membuka mulut pada segmen permulaan, penonton sudah bersorak. Itu membuktikan betapa kuat aura mereka menghidupkan pentas berprestij itu. Setiap lagu yang dinyanyikan baik secara solo atau gabungan bertiga disampaikan dengan baik sekali.
Tidak perlu diterangkan panjang lebar tentang portfolio atau pencapaian mereka dalam industri muzik. Ketiga-tiga mereka sememangnya dikenali ramai dengan kekuatan vokal tersendiri sehingga pada awalnya ada yang menganggap mustahil untuk menampilkan mereka atas pentas yang sama.
Namun, seperti yang dijanjikan sejak awal promosi konsert, gabungan mereka bertiga bukan untuk mempertaruhkan bakat secara individu. Mereka tampil memberi kelainan dengan paduan yang sangat memukau.
Tidak wujud istilah siapa lebih hebat. Masing-masing cukup arif dan menyokong antara satu sama lain supaya lagu yang disampaikan memberi kesan kepada penonton.
Dalam hal vokal mereka, pujian harus diberikan kepada Datuk Syafinaz Selamat yang merupakan individu bertanggungjawab memberi latihan. Baik Misha, Noryn mahu pun Siti Sarah memberi peranan yang sama penting menyanyikan lagu nada rendah atau tinggi.
Ketiga-tiga penyanyi ini juga bijak memikat hati penonton dengan gurauan di atas pentas. Celoteh mereka berkongsi kisah di sebalik konsert membuatkan peminat berasa lebih dekat.
Seperti tiga bersaudara mencerita pengalaman mereka dalam mengharungi pelbagai cabaran bersama, sebab itu pemilihan nama Soul Sisters sangat tepat.
Malah, konsert anjuran Edd Radzhe Entertainment ini satu persembahan yang sangat eksklusif.
Justeru menurut Pengarah Urusannya, Edd Radzhe, beliau berhasrat gabungan tersebut menjadi satu jenama dan jika ada peluang yang lebih besar mereka bakal beraksi di pentas antarabangsa.
“Saya sangat suka melihat gabungan ini dan biarlah ia menjadi satu jenama. Tidak kisah jika selepas ini mereka mahu menggunakan nama Soul Sisters dalam mana-mana persembahan. Namun, untuk menghasilkan satu album bertiga perlu perbincangan terperinci kerana mereka di bawah syarikat pengurusan masing-masing.
“Untuk konsert di Kuala Lumpur, pihak penganjur tidak merancang menambah bilangan hari persembahan kerana ini sangat eksklusif. Hanya yang membeli tiket berpeluang menyaksikan persembahan mereka.
“Bagaimanapun saya mahu kembangkan jenama ini pada masa akan datang. Siapa tahu satu masa nanti mereka akan membuat persembahan di negara orang,” ujar Edd Radzhe.
Bercerita lanjut tentang perjalanan konsert, mereka telah menjalankan usaha selama enam bulan sebelum malam kemuncak.
Edd Radzhe sendiri merupakan individu penting dan sangat terperinci dalam setiap pemilihan lagu, bentuk persembahan termasuk gaya setiap artis di atas pentas.
Seleksi lagu yang ditampilkan merupakan lagu-lagu popular yang diberi nafas lebih segar manakala pemuzik profesional, Datuk Nasser Abu Kassim adalah orang yang diberi tanggungjawab penuh dalam susunan muzik.











