Tradisi Maori kini diterima masyarakat luar - Utusan Malaysia

Tradisi Maori kini diterima masyarakat luar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUASANA sayu masih lagi menyelubungi warga Christchurch, New Zealand akibat insiden tembakan beramai-ramai yang berlaku pada 15 Mac lalu.

Tindakan kejam dan tidak berperikemanusiaan seorang lelaki warga Australia yang tergamak melepaskan tembakan rambang ke atas orang Islam yang sedang menunaikan solat Jumaat di Masjid Al Noor dan Masjid Linwood telah mengorbankan 50 nyawa, manakala 50 yang lain cedera.

Dunia mengutuk insiden terbabit malah Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Arden turut memberitahu bahawa aksi keganasan seperti itu tidak boleh diterima sama sekali sama ada di New Zealand atau pun di mana-mana tempat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Begitu pun, biarpun pahitnya insiden tersebut, terselit hikmah apabila warga New Zealand tanpa mengira agama dan kaum berkumpul dan memberi penghormatan terakhir buat mangsa terkorban.

Bagi memperingati dan sebagai tanda solidariti terhadap mangsa yang terbunuh dalan insiden tembakan Christchurch, sekumpulan remaja daripada beberapa sekolah di New Zealand membuat persembahan tarian haka yang merupakan satu tarian suku kaum asli Maori.

Apabila menyebut tentang tarian haka, peminat sukan ragbi khususnya kumpulan All Blacks mungkin lebih banyak terdedah dengan tarian ini kerana ia sememangnya sering dipersembahkan sebelum acara sukan itu bermula.

Laungan ‘ka mate, ka mate, ka ora! ka ora!’ yang diulang sepanjang persembahan dengan pantasnya menaikkan semangat penonton.

Tarian pelbagai acara

Begitu pun, mengikut sejarah dan salasilah suku Maori, haka sebenarnya sudah begitu lama wujud dan dipersembahkan atas pelbagai tujuan.

Asalnya, tarian haka hanya boleh dipersembahkan oleh kaum lelaki daripada suku kaum Maori.

Pergerakan badan yang seragam, laungan kata-kata semangat serta hentakan dada yang kuat meletakkan tarian haka pada kelas tersendiri.

Selepas ia dimodenkan sekitar awal tahun 1900, golongan wanita dan kanak-kanak dibolehkan untuk mempersembahkannya.

Pergerakan tangan dan tubuh tarian haka tradisional lebih keras memandangkan pada masa itu dilakukan untuk menakutkan musuh ketika perang.

Haka moden dipersembahkan dengan cara tidak terlalu kasar kerana ia ditarikan dalam pelbagai majlis seperti sambutan hari lahir dan majlis perkahwinan.

Tarian haka yang dimodenkan juga menjadikan ia tidak hanya dipersembahkan oleh puak Maori, tetapi juga oleh warga New Zealand lain.

Lebih mengujakan, haka kini diterima masyarakat luar dan berkembang ke seluruh dunia.

Menurut Pengarah Eksekutif Pertubuhan Maori New Zealand, Mathew Tukaki, tarian haka sering dianggap sebagai tarian perang.

“Dahulu, apabila menyebut sahaja tarian haka, ia akan dikaitkan dengan situasi peperangan atau pertempuran.

“Begitu pun, ia berkembang menjadi lebih moden dan tema utama haka itu sendiri sebenarnya membawa maksud penghormatan,” jelas Tukaki.

Selain hentakan kaki yang kasar, wajah penari haka juga akan diconteng dengan pelbagai warna seperti hitam atau putih sebagai simbol keberanian.

Wajah garang

Lebih menarik, sewaktu menari haka, penarinya akan mempamerkan riak wajah yang pelbagai.

Jelas Tukaki, ia merupakan perkara biasa dan di situlah terletaknya identiti tarian haka yang unik.

“Riak wajah yang dipertontonkan penari haka termasuklah menjegilkan mata yang dipanggil pukana, menjelirkan lidah (whetero) dan menghentakkan kaki (waewae takahia).

“Selain itu, ia juga disusuli gerakan menampar tubuh dengan kuat dan kasar,” jelasnya.

Koordinasi gerak tubuh yang seragam dalam sesebuah kumpulan juga menjadikan tarian haka cukup diminati dan mudah dipelajari oleh sesiapa sahaja.

Kini, ramai individu biasa yang bukan daripada puak Maori di New Zealand belajar tarian haka dan akan mempersembahkannya pada majlis-majlis tertentu.

Ia sudah menjadi identiti rakyat New Zealand.

Susulan insiden tembakan Christchurch, beberapa buah sekolah di sekitar New Zealand mengadakan persembahan haka berasa terpanggil untuk mempertontonkannya sebagai satu simbol solidariti dan perpaduan.

Pada pagi 18 Mac lalu, sekumpulan pelajar lelaki dari Christchurch Boys’ High School yang lengkap beruniform serba hitam bersedia menari haka.

Kira-kira pukul 8 pagi, pelajar lelaki keluar dan berkumpul di hadapan sekolah untuk memulakan tarian haka.

Beberapa orang awam yang berada di hadapan sekolah tersebut mula menitiskan air mata kerana terharu melihat semangat dan sokongan ditunjukkan remaja terbabit.

Salah seorang pelajar sekolah tersebut yang juga merupakan ketua haka sekolah tersebut, Fergus Kilpatrick, 17, berkata dia berbangga dapat mempersembahkan tarian haka sebagai sokongan kepada mangsa.

“Haka merupakan sesuatu yang istimewa buat kami. Sebagai penduduk New Zealand, kami membesar dengan haka dan berasa terpanggil untuk membuat persembahan ini bagi berkongsi kesedihan dengan mangsa terlibat,” jelasnya seperti dipetik portal berita ABC.net.

Salah seorang penduduk Christchurch, Donna Hall pula berkongsi, tarian haka yang dipertontonkan susulan insiden menyayat hati itu adalah sebagai simbol penghormatan.

“Ia merupakan tindak balas rohani terhadap apa yang berlaku,” jelasnya seperti dipetik portal berita antarabangsa Cable News Network.

Tambah Hall, sebagai sebuah negara, tindak balas solidariti sebagai sokongan amat penting untuk ditunjukkan sebagai tanda penyatuan dalam menentang aktiviti keganasan yang berlaku.

Identiti UPNM

Jika di Malaysia pula, tarian haka lebih sinonim dikaitkan dengan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Dipanggil tarian perang, gerakan penuh semangat itu mempunyai aura yang tersendiri.

UPNM merupakan satu-satunya universiti tempatan yang memperkenalkan tarian perang ala haka sebagai simbol keberanian.

Di UPNM, tarian perang merupakan satu bentuk semangat yang mencerminkan keberanian, keseragaman dan juga disiplin berpasukan.

Keunikan UPNM terletak pada tarian perang memandangkan tiada universiti tempatan yang memiliki ciri sama khususnya untuk mengajar erti keyakinan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini