Kuala Lumpur – Kuala Lumpur akhirnya merasai nikmat kemenangan pertama bagi saingan Liga Super 2019 selepas menjinakkan Kedah dengan keputusan 2-1 di Stadium Kuala Lumpur, Cheras sebentar tadi.
Selepas mengharungi enam perlawanan pembukaan musim ini tanpa sebarang mata, kini skuad Warga Kota berjaya merampas tiga mata pertama pada aksi ketujuh ketika menerima kunjungan anak buah Aidil Sharin Sahak.
Gol pembukaan perlawanan terlebih dahulu memihak kepada pasukan tuan rumah hasil tandukan Luke Woodland apabila bijak menyempurnakan hantaran berpunca daripada sepakan percuma Paulo Josue pada minit ke-11 perlawanan.
Tersentak jaringan tersebut, Kedah kembali bangkit menyamakan kedudukan apabila rembatan Fernando Rodriguez dalam kotak penalti pada minit ke-32 berjaya menewaskan penjaga gol tuan rumah, Sharbinee Allawee Ramli.
Bersambung babak kedua, situasi bola mati ternyata memerangkap skuad Helang Merah apabila sepakan percuma yang disempurnakan Josue mampu disudahkan dengan bijak oleh Guilherme De Paula bagi melengkapkan kemenangan Kuala Lumpur pada minit ke-51 perlawanan.
Kejutan yang dilakukan Kuala Lumpur di bumi Cheras tersebut sekali gus mengulangi skrip yang sama apabila mereka berjaya menundukkan Kedah dengan keputusan 4-3 bagi saingan Liga Super musim lalu di venue yang sama. – K! ONLINE











