KUCHING – Tidak ada yang salah dalam penggubalan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan seperti yang dicadangkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH), kata Pengerusi PH Sarawak Chong Chieng Jen.
Menerusi satu kenyataan hari ini beliau memberitahu, sekiranya Warisan sebuah parti berpusat di Sabah yang juga bukan anggota dalam gabungan PH boleh menerima rang undang-undang yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Khamis, tidak ada sebab bagi Sarawak untuk tidak menerimanya.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Bintangor hari ini yang berkata tiada kelulusan diberi oleh Ketua Menteri Sabah dan Ketua Menteri Sarawak berkaitan pindaan kepada Perkara 1 (2) dalam bentuknya sekarang.
Abang Johari yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata, Jawatankuasa Kabinet mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak pernah membincangkan perkataan sebenar pindaan itu dalam mesyuaratnya.
Chong, yang juga Anggota Parlimen Stampin dan Pengerusi DAP negeri berkata, ia semata-mata alasan oleh GPS untuk menentang rang undang-undang pindaan perlembagaan itu.
Rang undang-undang pindaan itu untuk meminda Perkara 1 (2) untuk mengembalikan hak Sabah dan Sarawak berdasarkan MA63 mendapat bantahan daripada Anggota Parlimen pembangkang, termasuk daripada GPS, yang menerajui negeri ini. – Bernama










