KUALA LUMPUR 6 April – Pertahanan import Kedah, Shakir Hamzah dipilih sebagai pemenang Anugerah Pemain Terbaik Liga Super Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM)-Asiana.my untuk bulan Februari.
Kejayaan tersebut membolehkannya menerima trofi dan sebingkai gambar sumbangan Asiana.my, selain wang tunai berjumlah RM1500, jersi khas tajaan Great Heights dan gel sukan aktif tajaan Maselfix.
Anugerah tersebut disampaikan oleh EXCO PFAM, Baddrol Bakhtiar dan jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak dalam satu majlis ringkas di Cheras, hari ini.
Shakir menerima undian tertinggi iaitu 14,204, sekali gus mengetepikan empat calon lain – Dickson Nwakamae dari Pahang (3,245), Barathkumar Ramaloo (3,102), Gonzalo Cabrera (2,685 undi) dan Hadin Azman (1,027).
Pertahanan kental Singapura itu, mengakui sangat teruja menerima anugerah tersebut dalam penampilan pertama pada saingan Liga Malaysia (Liga M).
“Saya sedar, ramai pemain yang hebat dalam saingan liga dan apabila terpilih untuk memenangi anugerah ini pada penampilan musim pertama, ia sesuatu yang mengujakan.
“Terima kasih saya ucapkan kepada jurulatih, rakan sepasukan dan semestinya semua peminat pasukan Kedah yang telah menghadirkan anugerah ini.
“Kejayaan ini pasti menjadi tonik tambahan buat pasukan dan saya akan berusaha sehabis baik buat pasukan yang saya wakili,” katanya selepas majlis penyampaian anugerah tersebut.
Shakir, 26, adalah pemain keenam dari pasukan Kedah yang berjaya memenangi anugerah itu selepas Sandro Da Silva (September 2015 dan April 2018), Baddrol Bakhtiar (Ogos 2016 dan Februari 2017), Thiago Augusto Fernandes (September 2016), Ken Ilso (Julai 2017) serta Liridon Krasniqi pada Mei 2018. – UTUSAN ONLINE











