Hamidin terpilih sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif AFC - Utusan Malaysia

Hamidin terpilih sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif AFC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin terpilih sebagai ahli Jawatankuasa Eksekutif Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada Kongres AFC ke-29 sebentar tadi.

Hamidin, 53, adalah antara tiga ahli antara zon Asean yang dipilih selain Chris Nikou dari Persekutuan Bola Sepak Australia (FFA) dan Dr. Tran Quoc Tuan dari Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF) untuk mengisi tiga slot zon berkenaan. 

Kesemua mereka menang tanpa bertanding selepas calon dari Singapura, Winston Lee, menarik diri pada saat akhir.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ahli exco lain yang terpilih untuk penggal 2019-2023 ialah Abed-Alkhaliq Masoud Ahmed (Iraq); Hachem Haider (Lebanon); Sheikh Salem Said Salem Al Wahaibi (Oman); Dr Hamid Mohammed Ali Al-Shaibani (Yemen) dari Zon Barat, Sayed Ali Reza Aghazada (Afghanistan – Zon Tengah), Dasho Ugen Tsechup Dorji (Bhutan – zon Selatan) dan Eric Fok Kai Shan Eric (Hong Kong – Zon Timur).

Hamidin menjelaskan ia merupakan satu penghormatan buat dirinya dalam misi menaikkan lagi standard bola sepak negara.

“Ia merupakan penghormatan buat FAM dan Malaysia amnya. Saya berharap untuk bukan sahaja mewakili suara Malaysia dan Asean di AFC tetapi turut membina hubungan lebih erat dengan rakan-rakan persatuan yang juga ahli gabungan AFC dalam misi menaikkan lagi standard bola sepak kita,” katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi.

Pemilihan Hamidin memastikan tradisi pemimpin FAM dalam AFC menerusi pelbagai kapasiti berterusan sejak Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj terpilih selaku Presiden AFC di Tokyo tanggal 29 Mei, 1958.

Dalam Kongres AFC ini, Presidennya, Shaikh Salman bin Ebrahim Al Khalifa dari Bahrain mengekalkan jawatan presidennya tanpa bertanding selepas penarikan diri Mohamed Khalfan Matar Saeed Al Romaithi (UAE) dan Saoud A. Aziz M A Al-Mohannadi (Qatar).

Hadir ke Kongres AFC ialah Presiden FIFA Gianni Infantino dan Setiausaha Agung FIFA, Fatma Samoura. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini