KUALA LUMPUR 5 April – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) perlu memberi penjelasan mengenai beberapa persoalan penting berhubung pengisytiharan hibah pada kadar 1.25 peratus bagi tahun kewangan 2018 yang melibatkan pengagihan RM913 juta kepada semua pendeposit.
Penjelasan itu perlu dibuat secara telus memandangkan kadar diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof itu adalah yang terendah dalam sejarah pemberian hibah Tabung Haji.
Menurut Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, antara persoalan yang perlu dijelaskan adalah mengapa Tabung Haji hanya mengagihkan RM913 juta sahaja kepada pendeposit sedangkan keuntungan boleh agih bagi tahun kewangan 2018 yang diumumkan mereka sebelum ini sebanyak RM2 bilion.
“Ke manakah baki keuntungan RM5.8 bilion hasil penjualan aset-aset berharga Tabung Haji kepada syarikat tujuan khas (SPV) Urusharta Jamaah Sdn. Bhd.? Sebagaimana laporan menteri sebelum ini jumlah aset bernilai RM10 bilion telah berjaya dijual pada nilai RM19.9 bilion.
“Sekiranya keuntungan ini digunakan untuk menutup defisit RM4.1 bilion aset pada 2017, maka ia masih berbaki RM5.8 bilion. Namun, Tabung Haji hanya mengisytiharkan RM2 bilion sahaja keuntungan boleh agih. Ke mana perginya RM3.8 bilion baki keuntungan hasil jualan aset-aset ini?” soal beliau dalam laman Facebook rasminya di sini hari ini.
Selain itu, Asyraf Wajdi turut mempersoalkan sama ada kerajaan mampu memberi jaminan terhadap aset-aset yang dijual Tabung Haji kepada Syarikat Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. mampu ditebus pada nilai sepatutnya.
Katanya, hal itu kerana Kementerian Kewangan bertegas tiada jaminan kerajaan diberikan sekiranya nilai-nilai aset tersebut kurang dari nilai sukuk yang dipegang Tabung Haji.
“Selain itu, sekiranya benar berlaku penyelewengan, penipuan, dan manipulasi akaun oleh pengurusan terdahulu, mengapa sehingga hari ini tiada pendakwaan ke atas mereka? Menteri lebih gemar mencetuskan sentimen dan menghukum mereka di mahkamah persepsi.
“Benarkah aktiviti pelaburan Tabung Haji telah digantung sejak tahun lepas sehinggakan Jawatankuasa Pelaburan tidak bersidang sekaligus menyebabkan Tabung Haji tidak mampu menjana apa-apa hasil pelaburan sebagaimana kebiasaannya kecuali menjual aset-aset seperti hartanah bernilai kepada SPV?” katanya.
Asyraf Wajdi menambah, Tabung Haji juga perlu menjawab dengan jujur dakwaan Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Hasanuddin Mohd. Yunus yang TH Indoplantation di Riau, Indonesia mengalamai kerugian RM408 juta sedangkan dalam rekod Tabung Haji mencatatkan keuntungan berjumlah RM873 juta. – UTUSAN ONLINE











