PADANG BESAR 5 April – Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) negeri ini berjaya melumpuhkan sindiket yang menjual baja subsidi serta racun rumpai tidak berdaftar kepada para petani selepas menahan seorang lelaki di sebuah rumah di Kampung Tok Mengkula, Sanglang, Ayer Hitam, Kedah, semalam.
Dalam serbuan kira-kita pukul 9 pagi itu, Aksem turut merampas 129 kotak yang mengandungi kira-kira 12,240 bungkus racun serta 12,615 kilogram (kg) baja campuran jenama Nafas dianggarkan bernilai RM128,910 yang disembunyikan di dalam rumah itu.
Komander Aksem negeri, Deputi Superintenden Syed Basri Syed Ali memberitahu, pihaknya menerima maklumat mengenai kegiatan penjualan racun rumpai tidak berdaftar dan baja subsidi itu sebelum bersama sepasukan anggota membuat serbuan di lokasi tersebut.
“Hasil pemeriksaan, kita menemukan pelbagai jenis racun tidak berdaftar serta baja campuran bersubsidi.
Kita turut menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu sidang akhbar di Kompleks Aksem Chuping di sini, hari ini.
Tambahnya, suspek dipercayai telah membeli baja sebatian daripada para petani sekitar negeri ini dan Kedah dengan harga murah sebelum menjual kepada petani lain dari luar kedua-kedua negeri tersebut dengan harga jauh lebih tinggi. “Mereka akan membeli baja-baja subsidi ini daripada para petani di Kedah dan Perlis dengan harga murah dan menjualnya kepada petani-petani dari luar negeri ini seperti Selangor.
“Pemindahan baja dan racun itu dilakukan pada waktu malam di rumah tersebut bagi mengelak aktiviti mereka dikesan.
Malah, aktiviti dipercayai dilakukan secara rangkaian dengan menyalahgunakan skim subsidi baja yang diperuntukan kerajaan itu,” katanya.
Katanya lagi, racun haram tersebut dipercayai di bawa dari China sebelum diseludup masuk ke negara ini kerana mendapat permintaan tinggi daripada petani selain harganya yang berpatutan.
Ujarnya, kesemua barangan yang dirampas termasuk suspek tersebut diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Kedah dan Jabatan Pertanian untuk tindakan lanjut.
“Kes masing-masing disiasat mengikut Seksyen 53A (1)(a) Akta Racun yang sabit keselahan boleh dipenjara setahun dan denda RM10,000 bagi kesalahan pertama serta Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukan hukuman denda RM100,000 dan penjara tiga tahun,” katanya.- UTUSAN ONLINE











