KUALA LUMPUR 5 April – Semua pihak diminta tunggu dan menghormati keputusan kerajaan dalam menentukan status pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof. Datuk Dr. Mohamed Hatta Shaharom berkata, tempoh bagi menentukan status pengiktirafan sijil itu juga tinggal tiga bulan sahaja lagi.
“Kita tunggu, sabar sikit, hanya lagi tiga bulan. “Seperti yang saya katakan sebelum ini, semua perlu diam, hormat, biar kerajaan tentukan,” katanya kepada Utusan Malaysia pada pelancaran buku ‘Bahasa Melayu Di Daratan Asia Tenggara: Pendekatan Sejarah dan Geolinguistik’ di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa pengiktirafan UEC hanya akan dilakukan oleh Kabinet. Sebelum ini, Peguam Negara, Tommy Thomas memaklumkan Sijil Amalan Guaman (CLP) akan menerima pakai kelayakan UEC pada tahap ‘Senior Middle 3’ bermula 1 Januari 2021 selepas melakukan perbincangan dengan beberapa pihak.
Kenyataan itu turut dikongsi Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching dalam laman rasmi Facebook beliau menerusi kenyataan yang ditulis dalam bahasa Mandarin, bersama ucapan tahniah serta terima kasih kepada Peguam Negara.
Bagaimanapun, Dr. Mahathir menegaskan, walaupun LPQB boleh memberikan pendapat, kuasa untuk mengiktiraf sijil itu ada pada kerajaan. – UTUSAN ONLINE











