PUTRAJAYA 5 April – Kerajaan masih lagi tidak menyatakan pendirian sama ada mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) atau sebaliknya.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, mesyuarat Jemaah Menteri hari ini tidak membincangkan mengenai status sijil itu.
“Hari ini tidak bincang pasal UEC,” katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.
Beliau sebelum ini pernah berkata pengiktirafan UEC hanya akan dilakukan oleh Kabinet walaupun Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia (LPQB) boleh memberikan pendapat, sebaliknya kuasa mengiktiraf sijil itu ada pada kerajaan.
Pada minggu lalu, Peguam Negara, Tommy Thomas memaklumkan Sijil Amalan Guaman (CLP) akan menerima pakai kelayakan UEC pada tahap ‘Senior Middle 3’ bermula 1 Januari 2021 selepas melakukan perbincangan dengan beberapa pihak.
Kenyataan itu mendapat tentangan pelbagai pihak yang menganggap Tommy telah melangkau kuasa Kabinet dan Pasukan Petugas Khas Dasar UEC (PPDUEC) yang ditubuhkan Kementerian Pendidikan untuk melakukan kajian berkenaan pengiktirafan UEC. – UTUSAN ONLINE











