Sindiket perjudian berselindung disebalik banglo mewah - Utusan Malaysia

Sindiket perjudian berselindung disebalik banglo mewah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMPANG – Taktik sekumpulan sindiket perjudian atas talian menjadikan sebuah banglo dua tingkat sebagai markas operasi terbongkar selepas diserbu pihak berkuasa di Taman Hill View dekat sini hari ini.

Dalam serbuan bermula pada pukul 9.30 pagi itu telah dijalankan sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Selangor, Asisten Komisioner Mohamad Abd. Hamid berkata, menerusi Ops Dadu yang dijalankan, pihaknya telah berjaya menahan 26 individu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kesemua 26 individu terdiri daripada 22 lelaki dan empat wanita warga China berusia dalam lingkungan 21 hingga 43 tahun.

“Siasatan awal mendapati, sindiket berkenaan mampu mencapai nilai pertaruhan sehingga RM48 juta sehari hasil permainan judi atas talian serendah RM2,” katanya ketika ditemui Kosmo! Online selepas selesai operasi terbabit.

Mengulas lanjut, polis turut mengesan sindiket berkenaan sentiasa berpindah randah bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan.

“Hasil soal siasat, sindiket berkenaan baru beroperasi sejak dua bulan lalu di kawasan terbabit selain menyediakan permainan perjudian atas talian untuk pasaran di negara China.

“Sindiket berkenaan akan mempromosikan permainan perjudian atas talian menerusi aplikasi WeChat sebelum pelanggan yang berminat membayar dan menerima kod respon pantas (QR Code) untuk memulakan permainan,” jelasnya.

Tambahnya, menerusi serbuan tersebut, pihaknya telah merampas pelbagai barangan yang digunakan bagi kegiatan perjudian atas talian seperti 329 unit telefon bimbit, tiga buah komputer riba dan sebuah set komputer.

Kesemua tangkapan dan barang rampasan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang untuk siasatan lanjut dibawah Akta Rumah Judi terbuka 1953. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini