REMBAU 5 April – Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan mengucapkan tahniah di atas sambutan ulang tahun ke-20 PKR.
Menurut Mohamad lagi, majlis sambutan yang diadakan di pekan Rantau malam semalam itu serta dihadiri oleh kepemimpinan tertinggi parti itu juga berjaya membawa ramai orang luar ke Rantau
“Selamat datang ke Rantau, tiada isu, mereka mahu menyambut ulang tahun Ke-20, saya ucapkan tahniah kepada mereka, membawa ramai yang datang daripada luar, tapi tak ramailah dari pengundi tempatan.
“Mereka boleh bawa siapa sahaja yang mereka suka, lebih baik, baik untuk ekonomi di Rantau, orang berniaga, orang jual teh tarik, ramai yang minum. Tiada isu, kita mengamalkan politik matang, siapa sahaja boleh datang, tapi saya dengar pengundi tempatan tiada yang datang, semua daripada luar,” katanya.
Mohamad yang juga merupakan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau berkata demikian dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau mengulas penganjuran Majlis Sambutan 20 Tahun Keadilan yang diadakan di pekan Rantau semalam yang turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Yang hadir sama, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Sekretariat Pakatan Harapan (PH), Datuk Saifuddin Addullah. – UTUSAN ONLINE











