Kaji sejarah, adat istiadat Melayu - Utusan Malaysia

Kaji sejarah, adat istiadat Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH 4 April – Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir hari ini me­nyarankan agar institusi dan fakulti pengajian serta persatuan menjalankan kajian serta catatan yang berkaitan sejarah, adat-istiadat dan tamadun Melayu.

Baginda bertitah, sebagai contoh, Istiadat Menghadap Bagi Menzahirkan Kejadian Undang merupakan sebahagian daripada adat-istiadat Negeri Sembilan yang telah diamalkan turun-temurun dan perlu dijaga serta dikekalkan sama seperti adat-adat lain yang terkandung dalam Adat Perpatih.

“Beta amat menggalakkan kajian dan catatan dibuat berkaitan dengan adat-adat yang diamalkan kerana rujukan mengenai adat-istiadat yang dihasilkan oleh anak-anak tempatan amat berkurangan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Rujukan pada masa ini masih lagi bergantung kepada para penulis sejarah Inggeris seperti Richard Wilkinson, J.M. Gullick, M.B. Hooker dan lain-lain lagi,” titah baginda pada majlis menyempurnakan Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang Luak Jelebu Ke-16, Datuk Maarof Mat Rashad di Istana Besar Seri Menanti di sini.

Turut berkenan mencemar duli, Tunku Ampuan Besar Ne­geri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud.

Mengikut undang-undang tubuh negeri, Ketua Negeri bagi ne­geri ini ialah Yang Dipertuan Besar bersama-sama Undang Luak Yang Empat, termasuk Undang Luak Jelebu.

Tuanku Muhriz turut menyeru agar rakyat di Luak Jelebu dan di semua Luak Berundang serta Luak Tanah Mengan­dung untuk bersama-sama dengan kepimpinan Adat bagi memperkemas serta melaksanakan segala urusan dan tanggungjawab adat dengan baik.

“Hormati dan junjunglah sistem serta nilai adat yang kita warisi sejak zaman berzaman dengan berpegang teguh kepada perbilangan ‘Anak buah berbuapak, Suku berlembago, Luak berpenghulu, Alam berajo’.

“Di samping itu, peliharalah tali persaudaraan dan hubu­ngan baik antara satu sama lain ibarat bercincang berlandasan, ‘melompek’ bertumpuan, air dicincang tidak akan putus,” titah baginda.

Istiadat itu dimulai dengan Undang Luak Jelebu tampil menghadap menjunjung duli dan melafazkan sembah taat setia disusuli acara Tuanku Muhriz menaburkan titah kejadian.

Maarof diumumkan sebagai Undang Luak Jelebu ke-16 dalam satu istiadat pada 20 Disember 2018 bagi menggantikan Undang Luak Jelebu ke-15, Datuk Musa Abdul Wahab yang meninggal dunia pada 11 September 2014. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini