SEBELUM membaca kolum ini, biarlah kita mengetahui sedikit sebanyak latar belakang ahli sufi abad ke-13, Jalaluddin Rumi. Beliau yang berketurunan Parsi dilahirkan di Wilayah Balkh, Afghanistan dan kemudiannya menetap dan meninggal dunia di Konya, Turki.
Puisi-puisi Rumi yang dikumpulkan dalam enam jilid Masnawi adalah paling banyak dipetik di AS termasuk oleh saluran berita CNN.
Penyanyi utama kumpulan rock, Coldplay, Chris Martin pernah menceritakan pengalaman semasa berada dalam situasi kemurungan ketika dalam proses perceraian dengan bintang filem Iron Man dan The Avengers, Gwyneth Paltrow pada 2014.
Seorang kawan telah memberikan sebuah buku koleksi puisi ahli sufi itu yang kemudiannya telah mengubah hidupnya untuk bersikap lebih positif walaupun perkahwinan selama 10 tahun itu berakhir dengan perpisahan.
Bukan sahaja Martin, banyak lagi artis Hollywood yang terkesan dengan puisi Rumi seperti Madonna dan Demi Moore.
Kedua-dua mereka telah mendeklamasi puisi bertajuk Bittersweet dan Do You Love Me? yang diterbitkan dalam album khas bagi memperingati ahli sufi itu bertajuk A Gift of Love.
Malah penyanyi, Beyonce and Jay-Z menamakan salah seorang anak kembar perempuan mereka dengan nama Rumi. Album terbaharu mereka yang diterbit pada tahun lalu bertajuk Everything Is Love sarat dengan mesej ahli sufi berkenaan seperti kasih sayang adalah bersifat sejagat dan diluahkan dalam pelbagai bentuk seperti kemaafan serta belas kasihan kepada individu lain.
Punca keghairahan itu kerana puisi-puisi Rumi sering disebarkan dalam media sosial di AS. Semuanya adalah hasil terjemahan penyair negara itu, Coleman Barks.
Sesetengah pihak mencemuh keghairahan itu sambil menyifatkan puisi-puisi berkenaan tidak asli kerana penterjemah seperti Barks cenderung membuang ungkapan yang menyentuh mengenai Islam dan ayat-ayat al-Quran sehingga menyebabkan ada yang menyangka Rumi beragama Hindu.
Barks sendiri mengakui dia tidak fasih berbahasa Parsi iaitu bahasa asal puisi Rumi ditulis. Beliau sebaliknya hanya menyusun semula puisi itu yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris oleh individu lain.
Rata-rata peminat puisi Rumi di AS, apabila diberitahu beliau beragama Islam cukup terkejut. Mereka hairan bagaimana seorang tokoh Islam boleh menghasilkan puisi-puisi yang membawa mesej kasih sayang yang bersifat sejagat. Cukup berbeza berbanding imej pengganas yang cuba dikaitkan dengan umat Islam.
Bagaimanapun, Madonna yang ditanya mengenai minat terhadap puisi-puisi Rumi menyangkal dakwaan kata-kata dalam puisi itu yang menjadi tarikan utama sebaliknya menegaskan terdapat faktor lain yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
Oleh kerana tarikan cukup kuat puisi-puisi Rumi terhadap penduduk AS, satu persoalan yang harus kita jawab, bolehkah puisi-puisi beliau digunakan bagi meruntuhkan Islamophobia?
Selain itu, kepada umat Islam sendiri, persoalan penting yang masih belum terjawab sehingga kini, mesej apakah yang sebenarnya mahu disampaikan Rumi dan ahli sufi lain sebelum beliau seperti Mansur al-Hallaj kerana banyak puisi mereka amat sukar difahami.
Adakah puisi-puisi itu mengandungi disruptive knowledge (ilmu yang menimbulkan gangguan) mengenai soal-soal ketuhanan dan hakikat kewujudan manusia?











