KUALA LUMPUR 4 April – Dua beregu campuran negara mengesahkan tempat ke suku akhir kejohanan badminton Siri Jelajah Dunia Super 750 Terbuka Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini.
Pasangan profesional, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying terlebih dahulu menempah slot ke peringkat lapan terbaik selepas menang 21-13, 21-14 ke atas pasangan Indonesia, Ricky Karandasuwardi-Pia Zebadiah Bernadet.
Turut ke suku akhir, gandingan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang terpaksa bekerja keras hingga ke set penentuan sebelum meraih kemenangan 15-21, 21-17, 21-13 ke atas pasangan India, Pranaav Jerry Chopra-N. Sikki Reddy.
Kian Meng berkata, ini kali pertama mereka bertemu dengan pasangan itu dan walaupun kalah pada set pertama, tetapi, tetap yakin mampu meraih kemenangan dalam perlawanan itu.
“Semangat ingin menang menjadi punca utama kami berjaya bangkit dalam set kedua dan ketiga.
“Ini bukan permainan terbaik kami, tetapi, lebih baik berbanding kejohanan sebelum ini, harap kami boleh kekalkan,” katanya selepas tamat perlawanan. – UTUSAN ONLINE











