PRK Rantau: Tok Mat nafi bayar RM50 untuk dapat undi  - Utusan Malaysia

PRK Rantau: Tok Mat nafi bayar RM50 untuk dapat undi 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU –  Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan mendedahkan ada pihak tidak bertanggungjawab cuba memerangkap BN dengan menghubungi dan menawarkan wang sebanyak RM50 kepada pengundi tegar BN di Rantau.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, wang itu kononnya akan diberi jika pengundi BN terbabit keluar mengundi beliau dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada 13 April ini.

“Saya diberitahu ada usaha dilakukan menelefon pengundi tegar BN supaya keluar mengundi BN dan mereka akan dibayar duit. Saya rasa ini satu cara untuk memburuk-burukkan BN.

“Kita tak pernah langsung ada niat atau usaha seperti itu untuk memancing undi. Malah nak (beri) makan minum dalam Bilik Gerakan Utama (BGU) BN pun saya tak benarkan menyebabkan ramai kecewa kerana ia merupakan satu kesalahan pilihan raya,” katanya pada sidang media di BGU BN di sini hari ini.

Mohamad berkata, beliau dimaklumkan perbuatan itu dikesan berlaku sejak beberapa hari lalu dan telah meminta supaya pengundi tegar BN terlibat membuat laporan polis.

Justeru, katanya, beliau berharap orang ramai tidak terpedaya dengan perangkap tersebut dan meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut melakukan siasatan.

“Kempen mereka boleh macam-macam cara termasuk pembunuhan karakter dan cemarkan nama baik saya. Amalkan politik matang. Yang terbaik akan menang. 

“Kehidupan adalah lebih daripada ini. Menang atau kalah tidak kisah, tetapi jangan mendedahkan masyarakat dengan perkara yang tidak baik,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×