Terengganu terima hasil petroleum RM1.053 bilion tahun lepas - Utusan Malaysia

Terengganu terima hasil petroleum RM1.053 bilion tahun lepas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU – Terengganu telah menerima bayaran Wang Tunai Petroleum (WTP) daripada kerajaan Persekutuan berjumlah RM1.053 bilion tahun lepas, kata Menteri Besar, Ahmad Samsuri Mokhtar. 

Beliau berkata, ia dibayar secara berperingkat iaitu RM603 juta sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, RM100 juta pada 21 Ogos, RM200 juta pada 8 Oktober dan RM150 juta pada 12 Disember.

“Jumlah ini bagaimanapun adalah kurang berbanding anggaran terimaan RM1.4 bilion hasil petroleum dan gas seperti yang dibentangkan dalam Belanjawan Negeri pada tahun lalu yang mana anggaran itu adalah bersandarkan kiraan harga minyak pada US$60 (RM244.78) setong,” katanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Bazlan Abdul Rahman (BN-Batu Rakit) berkenaan jumlah terimaan hasil petroleum dan gas yang disalurkan kepada Terengganu sepanjang tahun lalu dalam sesi soal jawab lisan di Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu hari ini.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Said (BN-Kijal) mengenai jumlah hasil petroleum dan gas yang diterima untuk tahun 2019 pula, Ahmad Samsuri berkata, sejumlah RM193.18 juta diterima pada Januari lepas.

Bagaimanapun beliau menjelaskan ia sebenarnya adalah bayaran untuk 2018 dan jumlah yang diterima itu pula telah siap dipotong oleh Kementerian Kewangan bagi hutang kerajaan negeri kepada pusat sebanyak 25 peratus. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×