Hospital Rembau dibuka Jun depan - Dzulkefly - Utusan Malaysia

Hospital Rembau dibuka Jun depan – Dzulkefly

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 2 April- Kementerian Kesihatan hari ini mengumumkan Hospital Rembau di Negeri Sembilan akan dibuka kepada orang ramai mulai Jun depan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, proses pembinaan hospital tersebut ketika ini sudah mencapai tahap 90 peratus.

Beliau berkata, hospital itu merupakan kluster kepada Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban dan mempunyai kapasiti sebanyak 76 katil.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Hospital ini juga akan menempatkan pakar-pakar perubatan dari Hospital Tuanku Ja’afar secara berkala untuk rawatan kes-kes tertentu.

“Dengan adanya hospital ini, penduduk setempat boleh mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang terbaik “ katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai Hospital Rembau yang menjadi tumpuan dalam kempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Katanya, kerajaan terpaksa menanggung kos tambahan sebanyak RM8 juta berikutan kelewatan pembinaan hospital itu yang sepatutnya siap pada September 2016.

“Hospital berkenaan mula dibina pada September 2013 dengan kos asal sebanyak RM96 juta dan kini kosnya meningkat kepada RM104 juta,” katanya.

Sementara itu, Dzulkefly turut memaklumkan pihaknya menyokong cadangan pembinaan klinik gantian jenis tiga di Rantau dan Bandar Baru Sendayan.

“Cadangan projek klinik kesihatan gantian jenis tiga di kedua-dua lokasi itu telah diterima dengan melibatkan kos pembinaan sebanyak RM35 juta setiap satu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dzulkefly memaklumkan pihaknya sedang mengkaji beberapa mekanisma tentang pelaksanaan kawalan harga ubat-ubatan di pasaran.

“Antara yang akan diberikan perhatian ialah rantaian bekalan serta peranan pemain industri farmaseutikal selepas mekanisma itu diumumkan sebelum akhir tahun ini,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini