KUALA LUMPUR 2 April – Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dijangka menyiapkan pembangunan rangka kerja kepintaran buatan (AI) kebangsaan menjelang akhir tahun ini bagi memacu ekosistem AI negara.
Pengarah Bahagian Ekonomi Data, Dr. Karl Ng Kah Hu berkata, pembangunan rangka kerja yang dimulakan pada 2018 adalah lanjutan daripada Rangka Kerja Analisis Data Besar Kebangsaan yang dilancarkan pada 2015.
“Rangka kerja ini hanya akan dilaksanakan selepas mendapat kelulusan daripada kerajaan,” katanya kepada pemberita semasa Sidang Kemuncak Inovasi Microsoft 2019 di sini hari ini.
Tambah Kah Hu, MDEC sedang bekerja rapat dengan peneraju industri untuk mempromosi dan meningkatkan kesedaran mengenai pelaburan dalam penggunaan AI.
Katanya, MDEC telah mengadakan perbincangan dengan ahli akademik, persatuan, perniagaan permulaan, penggiat industri serta pihak-pihak yang berkepentingan dengan kerajaan sebelum melengkapkan rangka kerja itu.
“Kajian telah dibuat pada Mei 2018 hingga Januari 2019 terhadap 1,605 pasaran keputusan perniagaan dengan melibatkan 1,585 pekerja dari 15 pasaran yang mengambil bahagian termasuk 100 pemimpin perniagaan dan 100 pekerja di Malaysia.
“Kajian mendapati hanya 26 peratus organisasi Malaysia telah mula memakai teknologi AI dan mereka dijangka akan meningkatkan daya saing sebanyak 2.2 kali pada 2021,” ujarnya.
Menurut kajian bersama Microsoft dan IDC Asia Pacific, Malaysia belum bersedia untuk teknologi AI dan perlu memberi tumpuan kepada pelbagai aspek terutamanya dalam pelaburan dan data bagi mempercepatkan pengenalan AI.
Pengarah Penyelidikan IDC Asia Pacific Datacentre Group, Jun Fwu Chin berkata, Indeks Kesediaan AI antara Malaysia dan negara lain di rantau Asia Pasifik menunjukkan negara memiliki skor markah sebanyak 1.59 mata dalam kesediaan pelaburan dan 1.65 bagi kesediaan data.
“Kesediaan Asia Pasifik bagi pelaburan dan data, masing-masing berada pada 2.43 mata dan 2.35 mata. Ini menunjukkan Malaysia masih ketinggalan di belakang negara lain di rantau ini,” katanya.
Indeks Kesediaan AI mempunyai penanda aras daripada satu hingga empat dengan skor yang tinggi menunjukkan kesediaan tahap tertinggi bagi penggunaan AI. – UTUSAN ONLINE











