Antara Lynas dan kilang tayar terpakai
 - Utusan Malaysia

Antara Lynas dan kilang tayar terpakai


Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“KALAU tawan Putrajaya, kilang Lynas kita akan tutup”. Itu janji pada 26 Februari 2012 oleh pemimpin utama pakatan pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di hadapan ribuan warga Kuantan yang menyertai Himpunan Hijau 2.0.

Turut berada di atas pentas utama perhimpunan itu Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh dan beberapa lagi pemimpin utama PKR dan DAP yang kini berada dalam Kabinet Persekutuan termasuk Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Menjengah setahun pemerintahan selepas era Barisan Nasional (BN), kilang memproses nadir bumi di Gebeng itu masih beroperasi dan hampir pasti akan terus kekal dalam keadaannya seperti mana ketika janji itu dibuat lebih tujuh tahun lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Terlalu banyak hiruk-pikuk mengenai Lynas dan nadir bumi sejak 2009 hingga sekarang. Yang membantah pemimpin politik tetapi yang menyokong operasinya pakar kejuruteraan kimia serta profesor dalam bidang nuklear.

Pada satu tahap, Lynas memasang Airborne Monitoring System (AMS) yang memaparkan maklumat kualiti udara setiap 10 minit. Papan tanda elektronik itu ada di hadapan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan. Ya, IPD dan papan itu bukan maklumat statistik jenayah.

Hakikatnya, ramai terus mempercayai ahli politik berbanding pakar menara gading. Malah pada 2011 apabila Ahli Parlimen Hulu Langat (ketika itu) daripada Pas, Dr. Che Rosli Che Mat memberi pandangan tidak selari dengan Pakatan Rakyat, teruk beliau dihentam.

Sedangkan Dr, Che Rosli, bekas pensyarah sains nuklear Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bercakap berdasarkan kepakarannya. Begitulah senario Malaysia, sampai bila politik akan terus mengatasi ilmu, Wallahualam.

Ketika kemuncak isu ini tujuh, lapan tahun lalu, terlalu banyak momokan hingga ada yang jual tanah dan rumah. Malah ada yang nak berpindah dari Kuantan selain cerita fiksyen ala Hollywood kononnya ikan dan manusia jadi mutasi gara-gara pencemaran Lynas.

Namun sedekad berlalu, kilang Lynas hasil pelaburan Australia yang bertaraf ‘state of the art’ itu beroperasi dengan selamat. Ini bertepatan dengan standard keselamatan tinggi ditetapkan agensi kerajaan seperti Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB).

Yang tak disangka, Pasir Gudang, Johor yang terletak 350 kilometer dari Kuantan pula berlaku pencemaran toksik. Begitulah, kecil atau besar, Lynas atau sekadar kilang tayar terpakai, yang penting harus pastikan operasinya mematuhi standard keselamatan.

Risiko ada di mana-mana, yang penting mesti diuruskan dengan betul. Jika tidak, kilang proses sisa plastik import yang kini meresahkan ramai pun ada ancaman pada alam sekitar. Maka ini kali, dengarlah cakap pakar sebelum keputusan muktamad dibuat Kabinet mengenai Lynas. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini